Roger Moore

SWITZERLAND – Lagenda James Bond era 80-an, Sir Roger Moore telah menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 89 tahun hari ini.

Mendiang telah meninggalkan isterinya, Kristina Tholstrup dan tiga anaknya yang turut berada di sisinya semasa menghembuskan nafas terakhir.

Moore telah melakonkan watak sebagai agen perisikan popular dalam tujuh filem Bond termasuk Live and Let Die dan A View to A Kill.

Roger Moore merupakan pelakon ketiga yang memegang watak James Bond dalam tujuh sekual termasuk filem The Man With The Golden Gun

Moore meninggal dunia selepas bertarung dengan penyakit kanser.

Keluarganya dalam akaun twitter rasmi pelakon Holloywood itu berkata;

“Dengan berat hati, kami ingin berkongsi berita penuh duka cita bahawa bapa kami Sir Roger Moore telah meninggal dunia hari ini.

“Kami berasa sangat sedih dengan pemergian insan yang kami sangat sayangi selama ini,” katanya menerusi twitter tersebut.

Dalam satu kenyataan susulan, ahli keluarganya mengesahkan mendiang telah meninggal dunia di Switzerland.

“Kasih sayang kami kepada lelaki sejati yang meninggalkan kami tidak boleh digambarkan dengan kata-kata,” kata mereka.

Upacara pengkebumian tertutup mendiang akan diadakan di Monaco, menurut kenyataan yang ditandatangani tiga anak mereka Deborah, Geoffrey dan Christian Moore.

Kelab penyokong James Bond menyatakan sejak pelakon itu menggantikan Sean Connery pada Ogos 1972 sehingga ke Disember 1985, wataknya berjaya menarik perhatian generasi baharu penyokong filem-filem Bond.

“Kami semua sedih dengan pemergian ikon terbaik Britain. Tiada siapa yang melakonkan watak Bond sehebat Moore. Kami akan merinduinya,” kata seorang penyokong kelab Bond.- MalaysiaGazette