Datuk Abdul Fattah Mahmood

KOTA BHARU – Sehingga hari ini, tidak ada seorang pun daripada 75 ahli PKR yang dilantik dalam pentadbiran Kerajaan Pas Kelantan meletakkan jawatan.

Namun tiga ahli parti tersebut tidak hadir ketika majlis angkat sumpah Ahli Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) di sebuah hotel di sini kelmarin.

Ketiga-tiga individu yang dilantik itu bagaimanapun tidak memberikan sebarang alasan sama ada menolak atau menerima perlantikkan tersebut.

Dua daripada tiga individu tersebut adalah lantikan semula iaitu Mohd Rosdan Hassan dan Suzila Semail manakala Nor Rosmini Mohd Nor lantikan baharu.

Pengerusi Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, pihaknya masih memberi ruang kepada kesemua lantikan politik tersebut untuk menjalankan tugas mereka.

“Selagi belum ada hitam putih, kita terbuka dan masih memberi ruang walaupun ada yang tidak menghadiri majlis angkat sumpah.

“Kita tidak boleh kata mereka menolak pelantikan kerana belum ada surat, mungkin sehari dua ini mereka masih berbincang jadi kita perlu bagi ruang.

“Keutamaan kita adalah pembangunan di kawasan PBT dan kita berharap Ahli Majlis terutama yang dilantik semula yang mempunyai komitmen terdahulu menyempurnakan gerak kerja mereka,” katanya.

RUJUK:75 ahli PKR hilang kerja

Dalam pada itu, Pengerusi Pengerusi PKR Kelantan, Ab. Aziz Ab. Kadir berkata, pihaknya dalam proses untuk meletakkan semua jawatan dalam pentadbiran kerajaan Pas Kelantan.

“Tiga ahli yang tidak hadir pada majlis angkat sumpah kelmarin adalah bagi mematuhi arahan parti supaya berundur daripada pentadbiran kerajaan itu.

“Setakat ini PKR negeri sedang mengumpul semua surat peletakan jawatan ahli yang dilantik untuk diserahkan secara rasmi,” katanya.

Sebelum ini, Biro Politik PKR mengarahkan kesemua ahlinya yang berkhidmat dengan Kerajaan Pas Kelantan atas dasar lantikan politik supaya meletakkan jawatan ekoran keputusan Majlis Syura Ulama Pas memutuskan tahaluf siyasi di antara kedua-dua parti tersebut. – MalaysiaGazette