Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Nazri Aziz pada Program Dialog TN50 di panggung eksperimen ASWARA. foto SAFWAN MANSOR, 24 MEI 2017

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz merasakan dirinya seolah-olah ‘ancaman’ kepada keselamatan negara sehingga debat yang dirancangnya sebanyak dua kali tidak mendapat permit.

Menurutnya, debat yang dirancang bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad itu tidak mendapat kebenaran namun beliau mempersoalkan kenapa permit kepada Mahathir berceramah sampai hari ini mendapat kelulusan.

“Saya hairan kenapa polis tidak memberi permit kepada saya untuk berbahas dengan Dr Mahathir. Saya rasa perbahasan itu lebih adil kerana saya boleh menjawab segala tuduhan yang dilemparkan Mahathir ke atasa Perdana Menteri,” kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu pada sidang media selepas prgrma Dialog TN50 di sini petang tadi.

Nazri berkata, sebagai seorang menteri beliau terkilan dengan keadaan itu kerana hasrat untuk berbahas dengan bekas bosnya dahulu tidak kesampaian.

Beliau yang tidak mahu dilabel sebagai seorang yang pengecut dan debat itu penting bagi membuktikan dirinya seorang pejuang yang berani.

Ketika ditanya mengenai kenyataan Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berhubung beberapa pemimpin UMNO diarah oleh polis sendiri untuk membuat laporan bagi menghalang debat itu berlangsung, Nazri berkata, beliau tidak membuat kenyataan secara melulu.

Nazri berkata, beliau bertanggungjawab terhadap segala kenyataannya dan telah melihat sendiri lima laporan polis yang dibuat di kawasannya di Padang Rengas.

“Sudah tentu polis tidak akan buat pengakuan dan saya berpegang pada kenyataan saya. Lepas lihat report itulah buat kesimpulan bahawa ia telah ditaip lebih awal,” ujarnya. – MalaysiaGazette