KUALA LUMPUR – Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin khabarnya bakal bertukar wajah kerana ia akan digantikan dengan pembinaan Pusat Konvensyen Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan dijangka majlis pecah tanah diadakan Julai ini.

Bagaimanapun, wujud persoalan memandangkan cadangan asal adalah pembinaan sebuah taman awam untuk kegunaan orang ramai, namun ia secara tiba-tiba ditukar kepada sebuah pusat konvensyen.

Pada asalnya, pemaju di Taman Melawati itu, Sime Darby sudah merancang untuk membina tempat rekreasi di kawasan tersebut ketika permulaan pembangunan Pangsapuri Serini dan Melawati Mall tetapi pelan tersebut ditukar apabila Menteri Besar Selangor itu mahu sebuah pusat konvensyen dibina disitu.

Lokasi pembinaan awam pula dipindahkan daripada tapak asalnya ke sebelah pembangunan Pangsapuri Serini yang berkeluasan tiga ekar.

Daripada surat balas pihak MPAJ berhubung pembinaan konvensyen itu, mereka menjelaskan pembinaan di tapak pusat khidmat rakyat Azmin itu adalah berkeluasan 3.37 ekar yang berstatus Rezab Kemudahahan Awam dan dijangka siap dua tahun lagi.

Dalam surat tersebut juga, MPAJ berkata pusat konvensyen itu akan digunakan untuk tujuan majlis kenduri kahwin, keramaian dan aktiviti lain yang bersesuaian.

Tender pembinaan pusat konvensyen tersebut juga sudah dikeluarkan pada 12 Mei 2017 lalu dan tarikh tutup bidaan adalah 9 Jun 2017.

Persoalan yang timbul kini mengapa pelan asal di mana tapak sepatutnya taman awam itu dibina seperti yang dirancang pada asalnya oleh Sime Darby boleh ditukar secara tiba-tiba.

Selain itu, lokasi taman awam yang dipindah itu juga dibuat agak tidak praktikal kerana ia agak jauh daripada pusat beli-belah Melawati Mall yang bakal beroperasi tidak lama lagi.

Lokasi pusat khidmat rakyat Azmin di mana taman awam itu adalah bersebelahan dengan Melawati Mall, jadi mengapakah ia dipindahkan jauh ke belakang dan bagaimana pengunjung mahu beriadah sekiranya ia jauh daripada pusat beli-belah tersebut.

Pengerusi Penduduk Taman Melawati Jln A, B dan C, Razman Hakimi Abdullah bercakap kepada wartawan selepas berbincang dengan pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) berkaitan isu jalan yang sesak disebabkan pembangunan baru di Pusat Bandar Taman Melawati. foto SAFWAN MANSOR, 24 MEI 2017

Menurut seorang penduduk, Razman Hakimi Abdullah, penduduk tidak melawan pembangunan tetapi persoalannya apakah keperluan untuk membina sebuah lagi bangunan yang tinggi pada ketika isu aliran jalan pun tidak dapat ditangani oleh MPAJ.

“Kami penduduk tidak memerlukan lagi satu projek bangunan yang tinggi. Apa yang kami mahukan adalah sebuah jalan untuk memudahkan kami keluar masuk pulang ke rumah.

“Masalah kesesakan tidak diselesaikan di Taman Melawati ini, sepatutnya MPAJ menyelesaikan dahulu keperluan penduduk disini,” katanya. – MalaysiaGazette