Bekas Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop tiba di lobi Kementerian Kewangan bagi memberi keterangan kepada Pasukan Petugas Khas Kerugian Bank Negara Malaysia. foto SAFWAN MANSOR, 26 MEI 2017

PUTRAJAYA – Bekas Menteri Kewangan II, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dipanggil oleh Pasukan Petugas Khas siasatan kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memberi keterangan berkaitan aktiviti spekulasi mata wang asing pada tahun 1990-an.

Nor Mohamed tiba di Kementerian Kewangan tepat jam 3.25 petang dan beredar pada pukul 4.10 petang.

Beliau berada di Kementerian Kewangan selama 45 minit bagi sesi memberikan keterangan itu.

Bagaimanapun, tiada sebarang kenyataan diberikan dan beliau hanya senyum kepada media sebelum meninggalkan perkarangan Kementerian Kewangan.

Pendedahan skandal forex BNM kembali diperkatakan setelah bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid tampil menjelaskan isu berkenaan selepas 25 tahun.

Dakwa Murad, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak menyampaikan fakta tepat pada 1992.

Jelas Mahathir, kerugian BNM akibat dagangan tersebut cuma RM4 bilion sedangkan nilai sebenar mencecah AS$10 bilion atau RM33 bilion nilai pada 1993.

Isu ini pernah didedahkan oleh bekas Penolong Pengurus Bank Negara, Dr Rosli Yaakop yang menamakan Mahathir; bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Jaafar Hussein.

Nor Mohamed didakwa sebagai dalang kepada krisis BNM pada waktu itu.

Sebelum ini, bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut dipanggil pasukan khas berkenaan selain Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang. – MalaysiaGazette