SPRM

PULAU PINANG – Jumlah tangkapan bersabit kes rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di negeri ini meningkat lebih 100 peratus setakat ini.

Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Abdul Aziz Aban berkata, angka itu berdasarkan tangkapan pihaknya terhadap seramai 45 individu atas pelbagai kesalahan bersabit kes rasuah sejak Januari lalu hingga semalam.

Tangkapan itu, ujar beliau, menunjukkan peningkatan ketara berbanding purata tidak lebih 40 tangkapan setahun yang dilakukan SPRM di negeri ini sepanjang tempoh lima tahun lalu.

“Daripada 45 tangkapan yang dibuat SPRM sepanjang tahun ini, seramai 22 daripada mereka merupakan penjawat awam; 15 kakitangan swasta dan selebihnya daripada pelbagai latar belakang,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Ikrar Bebas Rasuah Peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Menurut Abdul Aziz, peningkatan tangkapan itu merupakan hasil usaha berterusan pihaknya dalam menjalankan tanggungjawab mengekang budaya rasuah dalam kalangan masyarakat.

Malah, beliau tidak menolak lebih banyak tangkapan bersabit kesalahan rasuah dibuat khususnya di negeri ini berdasarkan laporan-laporan yang diterima pihaknya.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Aziz berkata, SPRM negeri turut menerima sebanyak 29 laporan dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini membabitkan kes salah guna dan penyelewengan di peringkat sekolah.

“Bagaimanapun siasatan lanjut pihak kita mendapati laporan itu tidak berasas atau tidak menyalahi mana-mana peraturan,” katanya.

Sejak awal tahun ini, SPRM Pulau Pinang menjadi tumpuan kerana berjaya membongkar beberapa kes penyelewengan berprofil tinggi serta membabitkan individu bergelar Datuk dan Datuk Seri.

Antaranya kes skandal penjualan tanah membabitkan Yayasan Bumiputra Pulau Pinang serta penyelewengan dalam Pusat Zakat Pulau Pinang (ZPP). – MalaysiaGazette