Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao bergambar bersama memorandum pada sidang media penyerahan memorandum mendesak SPRM menyiasat punca kerugian luar biasa Proton dan bagaimana dana berbilion R&D Proton dibelanjakan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 30 MEI 2017.
PUTRAJAYA – Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) hari ini mempersoalkan ke mana hilangnya dana RM18 bilion yang diperuntukkan kerajaan Pusat kepada program Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Proton, sejak 1983.
Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin, Ramesh Rao berkata, sekiranya dana itu dimanfaatkan sepenuhnya, Proton sepatutnya setanding dengan syarikat automotif lain seperti Kia dan Hyundai yang kini di persada antarabangsa.
“Kalau Proton belanjakan RM18 bilion, sepatutnya ia berada di kemuncak. Proton sepatutnya mengeluarkan kereta berkualiti. Kenapa kereta nasional masih lagi di belakang.
“Untuk mengeluarkan Proton Iriz, R&D sahaja menelan kos RM600 juta, langsung tidak masuk akal, sesuatu yang tidak kena, yang perlu disiasat Suruhanjaya Pecegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya pada sidang media di luar pekarangan ibu pejabat SPRM, di sini, hari ini.
Terdahulu Ramesh bersama enam ahli NGO itu menyerahkan memorandum mendesak ibu pejabat SPRM menyiasat wujudnya unsur salah laku rasuah dan ketirisan dalam pentadbiran serta pengurusan Proton.
Siasatan itu perlu bermula dengan syarikat milik kerajaan itu dan mana-mana individu terbabit termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi perdana menteri ketika itu.
Mengulas lanjut, Ramesh juga mempersoalkan berhubung penyusutan rizab Proton dari RM4.8 bilion pada 2011 kepada RM1.8 bilion selepas ia diambil alih oleh DRB Hicom pada Januari 2012.
“Rizab Proton berkurangan amat luar biasa dan SPRM perlu menyiasat perkara ini,” dakwanya.
Beliau juga berkata, SPRM juga perlu menyiasat kenyataan salah seorang kakitangan Proton yang mendakwa wujudkan ketirisan, pentadbiran tidak cekap dan amanah menyebabkan harga komponennya lebih mahal di pasaran.
“Bagaimana Perodua boleh memperolehi harga komponen dengan lebih murah, tetapi komponen sama bila sampai ke Proton jadi lebih mahal. Kita minta SPRM siasat termasuk pembekal komponen Proton.
“Kilang rugi, vendor untung, pelik juga, luar biasa, tak pernah pula kita dengar vendor tak dapat bayaran. Di Malaysia pula luar biasa, GLC rugi, tapi pembekal untung,” jelasnya.
Katanya, desakan sama pernah disuarakan pemimpin pembangkang yang mencurigai urus tadbir dana berbilion ringgit itu berbanding prestasi Proton yang membimbangkan.
“Penyerahan memorandum ini untuk minta siasat Proton disokong penuh oleh PKR dan DAP sebelum ini. Paultan sebelum ini melaporkan Lim Guan Eng gesa kerajaan siasat salah urus dana Proton.
“Badan Pencegahan Rasuah (Sekarang SPRM) juga pernah menerima laporan sama daripada pucuk pimpinan PKR,
“Mereka ini bersetuju Proton disiasat dan tubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) untuk mengambil tindakan selanjutnya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette