R. Sivarasa dalam satu majlis di Masjid An-Nur Kg Melayu Subang, Rabu lalu

KUALA LUMPUR – Setelah mengetahui bahawa Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah murka dengan tindakan Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa yang dikatakan memasuki dan memberi ceramah di sebuah masjid di Subang minggu lalu, ahli PKR itu tampil menafikan dakwaan demikian.

Jelasnya, kehadiran beliau di masjid itu disalahertikan sesetengah pihak sedangkan beliau hanya menyampaikan sumbangan RM71,000 untuk diagihkan kepada surau dan masjid di kawasan Parlimen berkenaan.

“Saya hanya buat ucapan ringkas menyampaikan salam Ramadan kepada hadirin dan menegaskan keyakinan saya kepada komitmen kerajaan Selangor terus bimbing institusi surau dan masjid di Selangor.

“Saya juga berkongsi sedikit pengalaman saya sejak 2008 sebagai Ahli Parlimen Subang membuat lawatan ke surau dan masjid di kawasan saya.

“Saya hadir selepas dimaklumkan berkenaan majlis penyampaian sumbangan itu oleh Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara,” katanya memetik laporan Berita Harian.

R. Sivarasa menyampaikan sumbangan RM71,000 untuk diagihkan kepada surau dan masjid di kawasan Parlimen Subang.

Berita kemurkaan Sultan Selangor mengenai tindakan Sivarasa itu tersebar menerusi kenyataan Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Munir Bani yang diberitahu kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Haris Kasim baru-baru ini.

Rabu lalu, Sivarasa dikatakan memasuki Masjid An-Nur Kg Melayu Subang, sebagai mewakili Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, sebelum didakwa memberikan ceramah ketika berada dalam dewan solat.

Beberapa gambar kehadiran wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu turut tersebar sehingga menimbulkan perasaan tidak puas hati beberapa pihak.

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sebelum ini telah mengeluarkan arahan bahawa semua pengurusan masjid perlu akur tidak membenarkan penceramah tiada tauliah memberi ceramah. -MalaysiaGazette.