Najib Razak

PUTRAJAYA -Datuk Seri Najib Razak mengaspirasikan pada 2050 akan wujud institusi pendidikan atau sekolah yang diselaraskan di seluruh negara ke arah mencapai hasrat kerajaan dalam membentuk uniti nasional di antara pelbagai kaum di negara ini.

Ini kerana, menurut perdana menteri, sepanjang sesi dialog Transformasi Nasional (TN50) yang pernah dihadirinya, semua peserta memberi aspirasi mahukan negara yang mempunyai uniti tersebut.

Namun kesemua mereka tidak mencadangkan kepadanya bagaimana perkara itu perlu dibentuk melainkan hanya menyebut bahawa uniti nasional itu perlu bermula daripada sekolah.

“Bukan kita mahu tutup sekolah Cina atau Tamil tetapi pilih satu sekolah di mana bahasa penghantarnya adalah Bahasa Melayu, memperkasakan Bahasa Inggeris, kemudian ada subjek elektif yang kuat bagi Bahasa Tamil dan Mandarin serta mungkin Bahasa Arab.

“Kalau dia pelajar Cina, maka dia dapat belajar tiga bahasa dan guru di sekolah tersebut bukan daripada satu kaum sahaja. Boleh tak diterima model ini? Saya hanya cadangkan, saya membayangkan sebab semua orang sebut uniti mesti bermula di sekolah, namun tidak diberikan cadangan. Bukan kita mahu buat keputusan, saya cuba sebutkan.

“Malah soal masa depan sekolah tahfiz juga turut dibincangkan dari segi akademik dengan ilmu wahyu sebab di dalam Islam tidak pernah dibezakan ilmu wahyu dan ilmu sains,” kata Najib.

Beliau berkata demikian dalam sesi ‘Dialog TN50 Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Muda’ di Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (dua kiri) bercakap sambil diperhatikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa (kiri) pada Sesi Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) bersama Penjawat Awam di Dewan Utama, Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 31 MEI 2017.

Majlis berkenaan dihadiri hampir 1,000 penjawat awam muda daripada pelbagai agensi dengan sesi dialog itu dikendalikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Pada sesi berkenaan, Najib turut merumuskan, penjawat awam muda negara mengaspirasikan kehidupan yang seimbang di antara kerja dan kehidupan.

Terdapat peserta dialog yang mengambil bahagian mencadangkan penjawat awam perlu ada waktu bekerja yang maksimum.

“Tidak mahu terlalu terikat dengan kerja sehingga mengorbankan atau mengabaikan anak kesayangan dan keluarga. Maka kita kena fikir macam mana untuk mendapatkan kehidupan yang seimbang tersebut,” katanya.

Sementara itu, Najib yang juga Menteri Kewangan turut menggesa semua penjawat awam supaya lebih kreatif dan inovatif dalam mencari sesuatu penyelesaian kepada apa jua masalah yang timbul demi mendapat lonjakan berganda kepada negara.

“Jangan terima lebih kurang. Saya tak mahu dengar ‘lebih kuranglah’, ‘Ok’. Tak boleh. Kita kena berusaha sehingga melepasi batasan.

“Kalau kita buat secara kolektif dan bersama, kita punya outcomes (hasil) tentu lebih besar dan menyeluruh dan bermakna lagi,” tegasnya. – Malaysia Gazette.