Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dikatakan murka dengan tindakan Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa yang dikatakan memasuki dan memberi ceramah di sebuah masjid di negeri itu baru-baru ini.

Berita Harian melaporkan, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Haris Kasim dimaklumkan mengenainya oleh Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Munir Bani.

“Saya dimaklumkan, Sultan Selangor murka dengan tindakan ahli parlimen itu.

“Seperti mana ucapan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa pada Majlis Berbuka puasa Sultan Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah semalam, semua pengurusan masjid perlu akur tidak membenarkan penceramah tiada tauliah memberi ceramah.

“Pengurusan masjid terbabit juga sudah dipanggil Jumaat lalu untuk memberi keterangan mengenai insiden itu dan kertas siasatan sudah dikemukakan kepada Istana Selangor,” katanya kepada BH.

Rabu lalu, Sivarasa dikatakan memasuki Masjid An-Nur Kg Melayu Subang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum memberikan ceramah ketika berada dalam dewan solat.

Semalam, ketika berucap, Mohd Adzib berkata, masih ada penceramah yang secara terang mengajar di masjid dan surau di Selangor atau tempat awam tanpa tauliah, sekali gus melanggar peraturan yang ditetapkan.

Mohd Adzib berkata, MAIS menyokong sepenuhnya Operasi Tauliah yang dijalankan oleh JAIS ketika ini bagi memastikan penceramah yang dijemput mempunyai tauliah daripada MAIS. – MalaysiaGazette