Wanita Indonesia yang didakwa diculik malam tadi kini ditahan di IPD Gombak.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita Indonesia yang didakwa diculik di Regalia Residence, dekat Jalan Sultan Ismail kini dalam tahanan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, wanita itu sebenarnya adalah suspek kes curi yang pernah dilaporkan di Gombak dan disiasat di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian semalam, wanita berusia 23 tahun itu sebenarnya ditangkap oleh majikan lamanya dan kemudian diserahkan kepada polis.

Sehubungan itu, Amar Singh menafikan kejadian culik ke atas wanita terbabit.

Kes itu menjadi tular di media sosial apabila kamera litar tertutup merakamkan wanita berkenaan dibawa lari oleh sekumpulan lelaki dengan menaiki sebuah kereta.

Kejadian itu didakwa berlaku pada pukul 10.22 malam, semalam. – MalaysiaGazette