Bekas Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh

KUALA LUMPUR – Polis menahan dua lelaki yang dipercayai cuba menceroboh Kem Tentera di Sungai Besi hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 22 dan 23 tahun telah menyamar sebagai pegawai tentera dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Saga.

Menurutnya, suspek telah memberitahu pengawal di pondok pengawal keselamatan untuk berjumpa dengan kenalan mereka yang merupakan seorang pegawai tentera.

“Pemeriksaan oleh pengawal pos bertugas tidak menemui
sebarang identiti sebagai pegawai tentera dan di dalam kenderaan tersebut ditemui kelengkapan pakaian pegawai tentera,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah Amar Singh, salah seorang suspek merupakan penuntut di sebuah universiti swasta di ibu negara manakala rakannya tidak bekerja.

Jelasnya, semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan mereka direman sehingga Sabtu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan Seksyen 16 Akta Kesalahan Kecil 1955. – MalaysiaGazette