Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan titah perasmian dan menyempurnakan perasmian Masjid An-Nur Temasya Glenmarie pada Majlis Berbuka Puasa Sultan Selangor Bersama Rakyat serta perasmian masjid tersebut di Shah Alam. foto SAFWAN MANSOR, 02 JUN 2017
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan titah perasmian dan menyempurnakan perasmian Masjid An-Nur Temasya Glenmarie pada Majlis Berbuka Puasa Sultan Selangor Bersama Rakyat serta perasmian masjid tersebut di Shah Alam. foto SAFWAN MANSOR, 02 JUN 2017

SHAH ALAM – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam titahnya murka dengan tindakan Ahli Parlimen Subang PKR, R Sivarasa yang memasuki Masjid An-Nur Kampung Melayu Subang minggu lalu.

Sultan Selangor bertitah, tindakan Sivarasa itu sudah melampaui batas kerana baginda sudah berkali-kali melarang mana-mana ahli politik daripada berucap di dalam masjid bagi mengelak perpecahan dikalangan umat Islam.

“Namun teguran beta nampaknya tidak diendahkan dan Beta ingin menegaskan Ahli Parlimen Subang, Sivarasa, ‘You have crossed the line!’

“Jikalau Ahli Parlimen Subang itu hendak berucap lapan jam atau sepuluh jam di luar kawasan masjid, beta tidak menghalangnya,” kata baginda  semasa menghadiri majlis berbuka puasa di Glenmarie, Shah Alam hari ini.

Tegas baginda lagi, penceramah atau pensyarah luar yang mahu menyampaikan ceramah dan tazkirah mestilah mendapatkan kelulusan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terlebih dahulu bagi memastikan mereka benar-benar layak.

“Setiap penceramah atau pensyarah dari luar hendaklah dirujuk kepada pihak JAIS bagi memastikan bahawa mereka ini benar-benar layak serta mengamalkan amalan yang selari dengan ajaran Ahlus Sunnah Wal Jamaah,” katanya lagi.

Baginda turut menggesa supaya nazir masjid, imam dan ahli jawatankuasa masjid mengambil berat titah yang disampaikan dan tidak membenarkan tempat ibadah sebagai tempat untuk berpolitik.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada sebahagian saudara baru islam pada Majlis Berbuka Puasa Sultan Selangor Bersama Rakyat Serta Perasmian Masjid An-Nur Temasya Glenmarie, Shah Alam. foto SAFWAN MANSOR, 02 JUN 2017

“Beta mahu masjid dan surau digunakan untuk tempat beribadat dan tempat untuk kita menuntut ilmu agama serta dijadikan tempat untuk mengeratkan silaturrahim sesama umat Islam supaya tidak berpecah-belah dan berpuak-puak,” katanya.

Menurut baginda, tindakan tegas tidak teragak-agak diambil kepada nazir atau imam masjid yang menggunakan masjid tempat untuk berpolitik.

“Beta tidak teragak-agak untuk menitahkan kepada JAIS supaya menamatkan perkhidmatan nazir, imam atau AJK masjid yang melanggar dan tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Berhubung tindakan Sivarasa, Sultan Selangor juga mengarahkan kepada JAIS untuk menyiasat insiden di Masjid An-Nur Kampung Melayu Subang dan jika ada di kalangan mereka yang melanggar peraturan tindakan tegas akan diambil serta-merta.

“Beta mahu JAIS menyiasat perkara ini dengan terperinci dan sekiranya ada bukti yang AJK masjid ini melanggar peraturan sedianada, tindakan selanjutnya hendaklah diambil terhadap mereka selepas bulan Ramadhan,” kata baginda lagi.

Minggu lalu, Sivarasa dikatakan memasuki Masjid An-Nur Kampung Melayu Subang, sebelum didakwa memberikan ceramah ketika berada dalam dewan solat.

Beberapa gambar kehadiran wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu turut tersebar sehingga menimbulkan perasaan tidak puas hati beberapa pihak.

Empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga turut menyerahkan memorandum kepada JAIS disebabkan tindakan Ahli Parlimen berkenaan. – MalaysiaGazette