Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Adul Hadi Awang yang masih menjalani rawatan lanjut di Institut Jantung Negara (IJN) menyatakan rasa rindu tidak terkira kepada keluarga dan sahabat seperjuangan.

Beliau yang meluahkan kerinduan itu melalui tulisannya Dari Jendela IJN berkata, beliau bagaimanapun akur dengan keadaan fizikalnya yang sedang diganggu kesakitan dan masih ditahan di wad kerana rawatan yang diwajibkan.

“Perasaan saya di ketika ini adalah penuh dengan kerinduan yang tidak terkira kepada keluarga dan sahabat-sahabat seperjuangan.

“Paling dirindui ialah Kuliah Dhuha Masjid Rusila, Marang dan semua pelajar. Saya mulakan kuliah itu sejak tahun 1976 kerana didesak oleh orang tua penduduk Kampung Rusila supaya menggantikan kuliah ayahanda saya yang meninggal dunia pada 1 Mei 1975.

“Saya juga sangat merindui untuk berada di samping semua pemimpin Pas di semua peringkat termasuk rakyat jelata,” katanya di sini, semalam.

Abdul Hadi dimasukkan ke IJN Kuala Lumpur pada 15 Mei lalu untuk menerima rawatan intensif.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, beliau turut mengalami dan bersama dengan denyut kesusahan serta keperitan rakyat khususnya di kalangan petani, nelayan dan pekerja rendah serta belia menganggur yang sangat menekan perasaannya.

“Di masa menahan kesakitan, saya memilih untuk mendengar alunan bacaan al-Quran sebagai penawar jiwa yang lebih baik daripada ubat penahan sakit.

“Hal ini menambahkan lagi keyakinan saya bahawa sebenarnya al-Quran adalah Kitab Allah yang juga merupakan satu mukjizat ilmu.

“Dalam perbincangan saya dengan pakar perubatan, bertambahlah keyakinan saya bahawa wajib digabungkan ilmu wahyu bersama ilmu perubatan moden ini yang juga kurniaan Allah,” ujar beliau.

Beliau turut menyatakan rasa terharu dengan pandangan rakan seperjuangan dari dalam dan luar negara yang bersedia untuknya dirawat di mana sahaja tempat terbaik di dunia dan ingin membantu segala perbelanjaan.

Namun, katanya, beliau membuat keputusan supaya dirawat di tanah air dan bergantung kepada kepakaran yang ada dalam negara, kecuali kalau tidak adanya kepakaran dalam bidang tertentu seperti berlaku terhadap Allahyarham Datuk Dr. Haron Din yang dengan berat hati terpaksa memilih untuk mendapatkan rawatan di Amerika Syarikat setelah mendapat pandangan daripada IJN sendiri.

“Dalam mendapatkan rawatan kali ini, IJN menjadi pilihan saya kerana bak kata pepatah hujan batu di negeri sendiri tidak sama dengan hujan emas di negara lain,” katanya.

Untuk menjalankan pembedahan itu, IJN telah menubuhkan pasukan terbaik yang diketuai Datuk Seri Dr. Mohd Azhari Yakub, Datuk Seri Dr. Jeffrey Jeswant Dillon, Datuk Dr. Suhaini Kadiman, Datuk Dr. Rosli, Datuk Dr. Mohd Nasir Muda, Datuk Dr. Suneta, Datuk N. Thiru Kumar, Datuk Dr. Ghazali Ahmad dari Hospital Kuala Lumpur (HKL). – MalaysiaGazette