Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak dan isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor beramah mesra bersama menteri-menteri semantara menunggu waktu berbuka puasa pada Majlis Iftar @ KL di Jalan Raja, Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. foto MALAYSIA GAZETTE, 04 JUN 2017

KUALA LUMPUR – Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor untuk berbuka puasa sempena Iftar@KL 2017 di Dataran Merdeka disambut meriah hampir 5,000 pengunjung yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk para pelancong.

Najib yang duduk bersila beralaskan tikar menjamah hidangan nasi beriyani di dalam pek selain bubur lambuk dan kurma.

Pada majlis itu, beliau yang berbaju Melayu merah dan berkain pelikat turut mengagihkan bubur lambuk kepada hadirin.

Najib kemudiannya menyertai jemaah lain menunaikan solat Maghrib di padang berhampiran yang diimamkan Sheikh Mohd Idris Al-Masyrafi dari Makkah.

Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor mengacau bubur lambuk bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir (dua kanan) pada Majlis Iftar @ KL di Jalan Raja, Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Najib meluangkan masa dan beramah mesra dengan warga kota yang tidak menyangka dapat berjumpa secara langsung dengan pemimpin nombor satu negara itu.

Walaupun juadah berbuka yang disediakan penganjur serba ringkas ianya sudah amat memadai buat mereka merasai pengalaman berbuka dalam suasana terbuka.

Pengalaman itu buat mereka lebih berharga di samping dapat mengeratkan hubungan antara sesama masyarakat dan dapat berkongsi budaya dengan memperkenalkan kepada masyarakat bukan Islam.

Seorang pelancong dari Australia, Ahmad khochaiche berkata, ini merupakan pengalaman kali pertama berbuka beramai-ramai dengan umat Islam yang tidak pernah dianjurkan di negaranya dan menyifatkan ia sesuatu yang istimewa.

Ahmad Khochaiche berkongsi rasa teruja selepas selesai Majlis Iftar @ KL di Jalan Raja, Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 04 JUN 2017

“Ini kali pertama saya dapat berbuka beramai-ramai dengan umat Islam dan ia menarik dengan penganjuran program hari ini. Ini pengalaman pertama saya dan menikmatinya (juadah) dengan enak.

“Makanan disini sedap dan apabila kamu berpuasa semua makanan enak,” katanya ditemui wartawan MalaysiaGazette.

Sementara itu, seorang lagi pelancong dari Sweden, Tiana juga melahirkan rasa gembira dapat merasai pengalaman berbuka puasa beramai-ramai kerana ia mencerminkan imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang sederhana dan aman tanpa perbezaan agama serta kaum.

Tiana berkongsi pengalaman selepas selesai Majlis Iftar @ KL di Jalan Raja, Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 04 JUN 2017

“Ini satu pengalaman yang menakjubkan dan makanan disini sangat enak. Ini kali pertama saya menyertai majlis berbuka puasa seperti ini dan ia satu pengalaman yang berharga,” katanya.

Bagi pengunjung tempatan, Shamsiah Samsuddin dari Kepong, mereka tidak menyangka Najib juga hadir pada majlis hari ini dan meluahkan rasa teruja dapat bertemu secara langsung dengan beliau.

Shamsiah Samsuddin ditemui selepas selesai Majlis Iftar @ KL di Jalan Raja, Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 04 JUN 2017

“Kami dapat tahu tentang program ini daripada pengumuman dalam televisyen dan pengalaman berbuka puasa beramai-ramai ini sangat menyeronokkan.

“Ya, dapat jumpa Perdana Menteri, kami pun tidak sangka dapat jumpa dan suasana hari ini sangat meriah sekali,” katanya.

Program yang diadakan sejak tahun 2012 anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) itu bukan sahaja melibatkan acara berbuka, malah turut diadakan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih selain aktiviti penyediaan bubur lambuk. – MalaysiaGazette.