MANILA – Polis telah mengenal pasti lelaki bersenjata yang menyerang sebuah kompleks kasino dan hotel di Manila awal pagi Jumaat sebagai seorang lelaki berusia 42 tahun yang merupakan bekas kakitangan Jabatan Kewangan.

Ketua Superintendan Polis, Oscar Albayalde berkata, lelaki berkenaan, Jessie Carlos yang merupakan seorang warga Filipina adalah individu yang dikelilingi hutang kerana gila berjudi di kasino tersebut.

Katanya, Carlos telah dikenal pasti oleh warisnya pada jam 5.30 pagi hari ini.

Tambah beliau, Carlos berhutang sekurang-kurangnya 4 juta peso (RM345,619) dan ketagihan judinya itu telah menyebabkan dia sering bergaduh dengan isteri dan ibu bapanya.

Lelaki tersebut telah diharamkan daripada memasuki kesemua kasino dan terpaksa menjual traknya, Ford Ranger untuk membayar hutang.

Dia memiliki seorang anak lelaki dan dua anak perempuan.

Carlos yang merupakan pakar cukai telah dibuang kerja berikutan isu aset dan hutangnya.

“Dengan ini, kami ingin mengulangi sekali lagi kenyataan kami sebelum ini bahawa serangan tersebut bukan tindakan pengganas.

“Insiden ini berlaku di atas tindakan seorang lelaki yang bertindak berseorangan,” kata Albayalde.- MalaysiaGazette