KUALA LUMPUR – AirAsia akan beroperasi dari Kuching ke Pontianak, Indonesia dengan kekerapan tujuh kali seminggu.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad, Aireen Omar berkata, laluan baharu dari Kuching ini merupakan inisiatif dan komitmen syarikat penerbangan itu untuk menjadikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan terkemuka dan hab serantau bagi para pelancong yang melawat Borneo.

“Kami percaya negeri ini berpotensi untuk berkembang maju, justeru kami kini meninjau laluan hubungan terus dari negara-negara ASEAN, China, Indochina, Asia Utara, Australia dan banyak lagi,” tambah beliau.

Bagi meraikan laluan baharu tersebut, AirAsia menawarkan promosi tambang termasuk semua dari serendah RM89 sehala di airasia.com mulai sekarang hingga 18 Jun 2017 untuk perjalanan dari 5 Jun 2017 hingga 14 Januari 2018.

Harga promosi tersebut juga boleh didapati dengan menempah penerbangan melalui aplikasi mudah alih AirAsia untuk peranti iPhone dan Android, serta di laman mudah alih mobile.airasia.com.

Sebagai ibu kota Kalimantan Barat, Pontianak juga dikenali sebagai Kota Khatulistiwa (Equator City) kerana ia merupakan satu-satunya bandar di dunia yang terletak pada titik garisan Khatulistiwa, membahagikan hemisfera utara dan selatan.

Ia juga merupakan sebuah kota yang mana terletaknya Tugu Khatulistiwa yang terkenal dan menyaksikan waktu tanpa bayang-bayang dua kali setahun.

Pontianak juga terkenal dengan restoran terapung di sepanjang 1,143 kilometer Sungai Kapuas, sungai terpenting di kawasan itu.

AirAsia kini terbang ke-10 destinasi dari Kuching dengan sejumlah 468 penerbangan mingguan dua hala.

Destinasi tersebut adalah Miri, Sibu, Bintulu, Kota Kinabalu, Johor Bahru, Kota Bharu, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Singapura dan Pontianak. – MalaysiaGazette