DOHA – Arab Saudi, Emeriyah Arab Bersatu, Bahrain dan Mesir memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar sebagai satu langkah perlu bagi melindungi negara-negara tersebut daripada keganasan dan ekstremisme.

Agensi berita rasmi Arab Saudi yang memetik sumber berkata, negara tersebut telah memutuskan untuk menghentikan hubungan diplomatik dengan Qatar menggunakan amalan hak kedaulatan terjamin oleh undang-undang antarabangsa serta perlindungan kawalan kebangsaan daripada ancaman terorisme dan ekstremisme.

Arab Saudi memutuskan semua hubungan udara, darat dan laut dengan Qatar dan menggesa negara-negara dan syarikat lain untuk mengambil tindakan serupa.

Menurut seorang felo kanan Institute Timur Tengah, Charles Lister, Qatar sangat bergantung kepada bekalan makanan menerusi Arab Saudi dan dengan penutupan sempadan tersebut, ia akan menyebabkan satu cabaran besar kepada Doha.

Qatar merupakan pengeksport terbesar gas asli cecair (LNG) dunia dan mempunyai rangkaian udara dan perbankan di seluruh negara-negara yang telah memutuskan hubungan dengannya.

Malah syarikat penerbangan nasional negara tersebut, Qatar Airways menggunakan terminal udara di kesemua negara-negara berkenaan dan mempunyai hubungan luas di Eropah, Asia dan United Kingdom.

Bahrain, sekutu rapat Arab Saudi yang turut memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar menuduh negara tersebut menyokong terorisme dan masuk campur dalam urusan dalam negaranya.

Bahrain yang turut memutuskan hubungan udara dan laut dengan Qatar memberi masa 14 hari kepada rakyatnya untuk meninggalkan negara tersebut.

Manakala Emeriyah Arab Bersatu pula memberikan tempoh 48 jam kepada diplomat-diplomatnya untuk meninggalkan negara tersebut dengan memberikan alasan, Qatar menyokong, membiaya dan menerima pengganas, pelampau dan puak pemisah.

Mesir turut mengumumkan penutupan ruang udara dan pelabuhannya kepada semua pengangkutan milik Qatar bagi melindungi keselamatan negara tersebut, kata Kementerian Luarnya dalam satu kenyataan hari ini. MalaysiaGazette