KUALA LUMPUR – Bank Dunia melakukan semakan menaik unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia kepada 4.9 peratus berbanding 4.3 peratus sebelum ini.

Bank itu juga turut menyemak semua unjuran bagi KDNK 2018 dan 2019 dengan semakan menaik sebanyak 0.4 peratus dan 0.5 peratus.

Ini dilaporkan dalam laporan Prospek Ekonomi Global Bank Dunia yang diterbitkan dua kali setahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, semakan menaik itu menunjukkan keyakinan Bank Dunia ke atas kekukuhan ekonomi Malaysia.

“Semakan menaik bagi unjuran KDNK 2017 adalah didorong oleh pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan pada suku pertama tahun ini.

Ekonomi Malaysia berkembang 5.6 peratus tahun ini.

“Ini menunjukkan keyakinan Bank Dunia ke atas kekuatan ekonomi Malaysia dan dalam masa yang sama, firma-firma penyelidikan seperti Citi Research dan UOB Bank Malaysia turut menyatakan sentimen yang serupa apabila melakukan semakan menaik ke atas unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Abdul Rahman, persekitaran perdagangan global yang semakin baik turut mendorong pertumbuhan kukuh ekonomi Malaysia terutamanya apabila permintaan import dari negara-negara maju semakin meningkat.

Malah aliran dagangan dengan China turut bertambah.

Katanya, Malaysia mencatatkan peningkatan sebanyak 24.1 peratus eksport semasa suku pertama 2017 dengan eksport ke Amerika Syarikat, Jepun dan Kesatuan Eropah masing-masing naik sebanyak 12 peratus, 18 peratus dan 22 peratus manakala jumlah keseluruhan perdagangan dengan China berkembang sebanyak 34 peratus. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast