Gambar terbaharu Datuk Seri Abdul Hadi Awang di IJN Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Selepas selamat menjalani pembedahan pintasan jantung, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijangka dibenarkan keluar daripada hospital tidak lama lagi.

Menurut Setiausaha Politiknya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, tahap kesihatan Hadi semakin baik dan semakin pulih dalam proses pemulihan.

“Kami dimaklumkan bahawa Tuan Guru dijangka keluar dari wad hospital dalam beberapa hari lagi.

“Ketika saya bertemu Tuan Guru malam tadi, sempat juga Tuan Guru mengambil sedikit masa untuk mencatatkan nukilan beliau bagi bacaan awam yang telah dikeluarkan pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru katanya, semua ahli Pas diminta untuk berdoa agar Hadi kembali pulih bagi memimpin parti Islam itu.

Ahli Parlimen Marang itu dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) pada pertengahan Mei lalu bagi menjalani pembedahan penggantian injap jantungnya.

Pembedahan tersebut dilakukan setelah tahap kesihatan Hadi semakin tidak mengizinkan akibat kebocoran pada injap jantung beliau. – MalaysiaGazette