R. Sivarasa dalam satu majlis di Masjid An-Nur Kg Melayu Subang, Rabu lalu

KUALA LUMPUR – Ekoran tindakannya memberikan ucapan di dalam masjid sehingga Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah murka, Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa hari ini memohon maaf.

Perkara itu dibuat Sivarasa dalam sepucuk surat yang dikirimkan kepada Sultan Selangor bagi memperjelaskan apa yang sebenarnya berlaku sewaktu majlis pemberian sumbangan.

“Saya telah meneliti titah tuanku yang diberi pada Jumaat, 2 Jun 2017 di Masjid An-Nur Temasya Glenmarie di mana Tuanku telah menjelaskan arahan dan peringatan baginda bahawa mana-mana ahli politik baik beragama Islam mahupun bukan Islam tidak boleh memberi apa-apa ceramah atau ucapan di dalam masjid atau di kawasan masjid.

“Adalah jelas saya telah mengingkari arahan ini dengan ucapan ringkas saya di dalam Masjid An-Nur di Kg Melayu Subang.

“Justeru, di dalam surat saya itu, saya telah memohon maaf kepada tuanku di atas kesilapan saya ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Sivarasa menafikan beliau ada membuat ceramah di masjid berkenaan, malah menjelaskan bahawa dia cuba memberikan ucapan dan sumbangan.

Ekoran tindakan itu, Sultan Selangor murka lalu bertitah, tindakan Sivarasa sudah melampaui batas.

Ini kerana baginda kerana sudah berkali-kali melarang mana-mana ahli politik daripada berucap di dalam masjid bagi mengelak perpecahan dikalangan umat Islam.

Malah juga mengarahkan kepada JAIS untuk menyiasat insiden di Masjid An-Nur Kampung Melayu Subang dan jika ada di kalangan mereka yang melanggar peraturan tindakan tegas akan diambil serta-merta. – MalaysiaGazette.