Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar tiba pada Majlis Pelancaran Rancangan Fizikal Negara Ketiga (RFN KE-3), Dasar Perbandaran Negeri Kedua (DPN KE-2) dan Dasar Perancangan Fizikal Desa Negara (DPF Desa Negara) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 08 JUN 2017.

PUTRAJAYA – Rancangan Dasar Fizikal Negara Ketiga (RFN KE-3), Dasar Perbandaran Negara Kedua (DPN2) dan Dasar Perancangan Fizikal Desa Negara (DPF Desa Negara) merupakan dokumen besar dan amat penting bagi masa depan negara yang disebutkan sebagai Rancangan Pemajuan Nasional (RPN).

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak berkata, RPN adalah selaras dengan Rancangan Malaysia Ke 11 (RMK-11) yang merupakan langkah dalam memastikan pembangunan berlaku dengan seimbang dan saksama di setiap ceruk rantau, tidak kira kampung, mahupun bandar di seluruh negara.

“Malah saya percaya bahawa dokumen perancangan yang telah dirangka sememangnya berpaksikan kepada manifestasi dan mengambilkira pandangan kemahuan serta aspirasi dan keperluan setiap lapisan masyarakat di negara ini.

“Mustahaknya kerana, menjelang tahun 2020, kadar urbanisasi di negara ini dijangka mencecah 77 peratus dan akan terus meningkat kepada 85 peratus pada tahun 2040.

“Jadinya, peningkatan bilangan penduduk di kawasan bandar, pastinya menimbulkan tekanan terhadap kapasiti infrastruktur dan utiliti, kemudahan masyarakat, aspek perumahan perkhidmatan serta keperluan kepada makanan,” kata Najib.

Menurut Najib yang juga Menteri Kewangan, ketiga-tiga dokumen RPN akan menjadi sangat mustahak kepada negara untuk dijadikan rujukan utama pelbagai agensi dalam merangka program pembangunan fizikal negara ke arah mencorak pembangunan yang efisien dan mampan.

“Ia juga akan menjadi salah satu instrumen bagi mencapai kualiti persekitaran dan pembangunan lestari serta berperanan sebagai tindak balas terhadap globalisasi dan kepesatan pembangunan

“Meningkatkan taraf hidup isi rumah dan penyediaan perumahan mampu milik yang berkualiti bagi membantu golongan B40 dan M40, supaya mereka juga tidak terpinggir dalam menikmati arus kemajuan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian di dalam ucapannya pada majlis pelancaran ketiga-tiga dokumen RPN berkenaan di Putrajaya pagi tadi.

Turut hadir Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar, Menteri Sumber Manusia, Datuk Richard Riot Anak Jaem dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Menurut Najib, RFN merupakan dokumen perancangan tertinggi dalam rangka kerja perancangan pembangunan fizikal negara yang menterjemah dasar-dasar strategik dan sektoral dalam dimensi spatial serta fizikal.

RFN telah menjadikan Malaysia sebagai negara pertama di peringkat antarabangsa yang mempunyai rangka perancangan dan pembangunan spatial di peringkat negara.

DPN2 pula merupakan dasar yang memandu dan menyelaras perancangan pembangunan serta pentadbiran perbandaran menjadi lebih efisien dan sistematik dengan penekanan terhadap keseimbangan pembangunan sosial, ekonomi serta fizikal.

Manakala DPF Dasar Desa Negara merupakan dasar pembangunan desa yang pertama di Malaysia berbentuk spatial, bertujuan mewujudkan perancangan holistik bagi pembangunan desa dan melengkapkan DPN. – MalaysiaGazette.