Azam Baki
Azam Baki

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah memulakan siasatan berhubung isu Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) melilbatkan beberapa individu di dalam syarikat tersebut.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata, siasatan badan itu akan tertumpu kepada enam isu yang melibatkan FGV dan ianya akan dikaji secara terperinci untuk memastikan sama ada wujudhnya unsur rasuah dan salah guna kuasa sebelum tindakan lanjut diambil mengikut peruntukan undang-undang.

Namun tiada butiran lanjut diberikan Azam mengenai isu berkenaan.

“Pegawai SPRM juga telah menggeledah ibu pejabat FGV semalam dan merampas dokumen-dokumen yang berhubung kait dengan siasatan kes tersebut bagi membantu siasatan.

“SPRM kini dalam proses mengkaji dokumen-dokumen yang dirampas untuk mengumpul bukti-bukti berhubung siasatan tersebut sebelum tindakan lanjut diambil.

“Sehubungan itu, SPRM juga akan mula memanggil saksi-saksi dan individu-individu terlibat bagi membantu siasatan dalam tempoh terdekat.

“SPRM meminta semua pihak untuk memberikan masa dan ruang kepada pasukan penyiasat dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Isu FGV memuncak apabila empat pengurusan tertinggi termasuk Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zakaria Arshad serta Ketua Pegawai Kewangannya, Tifli Mohd. Talha diarahkan oleh lembaga pengarah supaya bercuti secara serta-merta pada Selasa lalu.

Menurut Pengerusi FGV, Tan Sri Isa Samad, keputusan tersebut diambil bagi melicinkan proses siasatan audit dalaman berhubung dakwaan salah laku urus niaga membabitkan Delima Oil Products Sdn. Bhd. dengan syarikat berpangkalan di Dubai, Safitex.

Dakwaan tersebut bagaimanapun dinafikan Zakaria yang mendakwa tindakan lembaga pengarah itu adalah sejenis serangan peribadi selepas beliau enggan melaksanakan beberapa pelaburan yang tidak menguntungkan.

Zakaria meminta supaya SPRM masuk campur untuk melakukan siasatan.- MalaysiaGazette