SATU perkara paling menyeronokkan bagi perantau seperti saya ialah cuti.
Dengan cuti, saya boleh rancang apa sahaja. Pilihan di tangan kita. Pilihlah apa saja, sama ada nak balik kampung atau rehat sahaja di rumah atau nak makan angin di tempat menarik yang boleh hilangkan tekanan kerja.
Bagi yang berduit, bolehlah rancang ke lokasi menarik di dalam atau luar negara, tapi bagi saya yang usia dah separuh abad ini, pilihan utama adalah balik saja ke kampung di Kelantan.
Jumpa mak ayah dan ahli keluarga terdekat. Lagi seronok. Bak kata DJ Dave dalam lagunya “Di Desa Kasihku Tertumpah”.
Malangnya, setiap kali rancang nak balik kampung, setiap kali itulah pula hati saya redup dan malap. Otak mula terbayang betapa azab dan seksanya memandu di jalan raya maut bermula dari bandar Bentong, Pahang hingga ke laluan Gua Musang – Kota Bharu.
Keadaan jalannya yang bengkang bengkok macam ular kena palu. Permukaan jalannya yang berolak macam berada atas kapal di tengah lautan dan lorong dua halanya yang sempit tak usah nak kata lagilah.
Lagi menakutkan kalau berselisih dengan lori balak atau treler kontena. Terasa seperti Malaikat Maut sudah berada di depan mata yang bersedia bila-bila masa hendak mencabut nyawa atas sebab musabab kemalangan.
Faktor lain yang lebih menakutkan pemandu ialah garisan putih di tepi dan tengah jalan. Ianya bukan saja pudar, malah di sesetengah laluan garisan ini langsung tidak ada. Kalau ada pun, ia bukan cat putih tetapi tahi burung layang-layang.
Bagi pengguna jalan raya, garisan putih ini sangat penting dan mustahak kerana ia satu-satunya tanda isyarat atau kompas bagi pemandu yang memandu pada waktu malam atau ketika hujan lebat.
Tanpa garisan putih ini, pemandu boleh hilang arah pemanduan. Mereka boleh terbabas ke tepi jalan memasuki laluan sebelah pada bila-bila masa sahaja.
Sudahlah Kelantan tidak ada sistem lebuh raya sebagaimana negeri-negeri lain, jalan negeri atau jalan persekutuan yang menjadi laluan utama rakyat Kelantan mencari rezeki di ibu kota Kuala Lumpur pun tidak diselenggara dengan baik.
Jadi, logiklah kalau rakyat Kelantan bergelar perantau teramat fobia dengan lagu nyanyian Ekamatra, “Pusara Di Lebuhraya”. Cuba nyatakan negeri mana yang tidak ada lebuh raya selain Kelantan?
Terengganu dan Kuantan, Pahang ada Lebuh Raya Pantai Timur Satu (LPT1) dan Lebuh Raya Pantai Timur Dua (LPT2).
Johor ada Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis ada Lebuh Raya Utara Selatan dengan rangkaiannya Jajaran Selatan, Jajaran Utara dan Hubungan Tengah.
Di Kuala Lumpur yang keluasannya hanya 342 kilometer persegi dan Selangor dengan 7,956 kilometer persegi lagilah mewah. Bermacam-macam nama lebuh raya yang ada.
Kenapa Kelantan tidak ada lebuh raya, sedangkan keluasan negerinya 14,931 kilometer persegi? Nak kata Kelantan tidak maju, hasil balaknya antara yang terbesar berbanding negeri lain.
Kelantan juga kaya dengan hasil bumi, antara negeri terbesar mempunyai lombong bijih di era pendaratan tentera Jepun ke negeri itu awal 1940-an. Justeru, kerajaan negeri pimpinan Allahyarham tok guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah merancang nak bina pelabuhan di Pantai Sri Tujuh, Tumpat.
Selayaknya Kelantan mempunyai lebuh raya. Tidaklah berasa malu sebagaimana sekarang, laluan dua lorong dari Kampung Tunjung, Kota Bharu ke pekan Rantau Panjang pun dipanggil lebuh raya. Padahal itu adalah jalan negeri.
Betapa kemaruknya rakyat Kelantan hendakkan lebuh raya.
Saya sendiri hairan memikirkan ‘kebekuan’ otak pemimpin-pemimpin yang memimpin kerajaan Kelantan. Tidak kiralah dari UMNO ataupun Pas. Mustahil keperluan sepenting itu tidak ada dalam otak Menteri Besar, anggota Exco Kerajaan Negeri mahupun Pengerusi Badan Perhubungan.
Kalau mengikut logik akal, memang patutlah otak kecil mereka tidak boleh nak memikirkan perkara itu, kerana jika mereka ada urusan sama ada di Kuala Lumpur atau negeri-negeri lain, mereka menggunakan pengangkutan udara, bukan memandu di jalan raya yang macam ladang ubi kayu itu.
Dua minggu lagi jutaan perantau akan balik ke kampung masing-masing di Kelantan. Kalau perjalanan biasa mengambil masa lima hingga tujuh jam, tidak mustahil bermula tiga hari sebelum Hari Raya Aidilfitri nanti mereka memerlukan antara 10 hingga 15 jam untuk sampai ke destinasi.
Ada yang terpaksa mengambil risiko dengan menggunakan Lebuh Raya Utara Selatan untuk ke laluan Gerik – Jeli dan ada juga meredhakan diri menggunakan LTP1 dan LPT2. Laluan biasa Lebuh Raya Kuala Lumpur – Karak – Kuala Lipis – Gua Musang tentunya penuh sesak.
Sebab itu berani saya katakan, pemimpin berjiwa rakyat sudah hilang dari memori kamus kepemimpinan hari ini. Ia hanya tidak lebih sekadar ungkapan kata-kata di mulut, bukan lagi suatu perbuatan realiti yang diharap-harapkan oleh rakyat.
Sesiapa sahaja, baik yang mendakwa membangun bersama Islam sekali pun, apabila sudah bergelar pemimpin, jiwa prihatin mereka terhadap rakyat akan hilang secara automatik dari diri masing-masing.
Yang berdegar-degar bercakap hendak membela rakyat adalah mereka yang ketika itu belum bergelar pemimpin.
Apabila sudah bergelar pemimpin, jiwa mereka perlahan-lahan disaluti kemewahan. Mata mereka perlahan-lahan terpukau dengan harta emas ringgit dan telinga mereka perlahan-lahan ditekapkan dengan keseronokan.
Sebab itu lebuh raya rakyat yang dipecah tanah oleh arwah tok guru Nik Aziz pada Mei 2012 juga turut tinggal gemulah. Ia hanya sekadar janji mulut untuk menyedapkan hati rakyat sahaja. – MalaysiaGazette