Ahmad Zahid Hamidi ketika melihat motosikal berkuasa tinggi jenis Indian 1811 Springfield diiringi Timbalan Pengerusi Bikers United Club Malaysia (BUCM), Azwan Abu Bakar (dua kiri) pada Program Bersahur dan Pelancaran Tabung Insuran Kebajikan Bikers United Club Malaysia (BUCM) di Gobox Concept, Kuala Lumpur malam ini.

KUALA LUMPUR – Anggota kelab bermotosikal (bikers) diingatkan supaya menjaga imej masing-masing bagi mengelak persepsi negatif yang sering dilontarkan masyarakat terhadap golongan itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, biar pun ‘bikers’ mempunyai personaliti dan cara pemakaian yang dianggap tidak begitu menggambarkan budaya masyarakat di negara ini namun ia tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk mengabaikan nilai-nilai budaya dan agama yang sudah lama diamalkan di Malaysia.

“Jangan sangka kita ‘bikers’ tidak puasa, bikers tidak solat Tarawih 20 rakaat. Saya biker juga, saya boleh pakai macam ni (berpakaian baju Melayu lengkap bersamping), boleh pakai macam saudara. Jangan sangka bikers tidak hafal al-Quran.

“Yang penting, soal budaya…budaya dalam kalangan kita (bikers) kerana penjenamaan yang diberikan masyarakat kepada kita seolah-olah kita ini golongan haprak…sedangkan jiwa kita tidak begitu dan kita mesti memperlihatkan imej (murni) itu (kepada masyarakat),” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 600 anggota kumpulan permotoran sempena Majlis Bersahur dan Pelancaran Tabung Insurans Kebajikan Bikers United Club Malaysia (BUCM) di sini malam ini.

Dalam ucapannya Ahmad Zahid berkata, aktiviti kemasyarakatan yang dilakukan BUCM perlu dicontohi dan beliau berharap perhimpunan anjuran badan bukan kerajaan (NGO) itu dapat dimasukkan ke dalam kalendar tahunan sebagai antara usaha mempromosi sektor pelancongan di negara ini.

Katanya lagi, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Pelancongan, beliau akan cuba menyelaras dan memasukkan aktiviti pemotoran ke dalam kalendar tahunan agar ia boleh membantu Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan mempromosi pelancongan dengan bikers dari seluruh dunia serta membolehkan mereka berhimpun di negara ini.

Pada majlis berkenaan, Ahmad Zahid turut mengumumkan sumbangan dana permulaan berjumlah RM100,000 untuk disalurkan kepada Tabung Insurans Kebajikan BUCM yang bertujuan membantu anggota pertubuhan itu yang ditimpa kemalangan atau menghidap penyakit kronik.

Selain itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kebajikan kepada 10 anggota BUCM yang kurang bernasib baik dan juga kepada Persatuan Madrasah Tahfiz Al-Quran Malaysia (Permata) yang diwakili Madrasah Darul Quran Ittifaqiyah, Keramat. – MalaysiaGazette