FGV

KUALA LUMPUR – Kenyataan Datuk Zakaria Arshad berhubung rancangan bernilai 100 juta pound sterling (kira-kira RM551 juta) untuk pengembangan Felda Cambridge Nanosystems Ltd dinafikan Ahli Lembaga Pengarah Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV).

Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Lembaga FGV, Datuk Dr. Omar Salim berkata, dakwaan presiden dan ketua pegawai eksekutif FGV itu berhubung kerugian RM117 juta dalam tempoh tiga hingga empat tahun lepas adalah tidak benar.

“FGV mengambil alih FGV CNS pada Disember 2013 dan sebagai sebuah syarikat yang baharu ditubuhkan dan masih diperingkat pembangunan produk, kerugian yang dicatatkan dari tahun 2014 hingga April 2017 adalah 5 juta pound sterling (RM27.5 juta),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Omar berkata demikian membidas kenyataan Zakaria kepada media baru-baru ini apabila menyatakan beliau cuba menghalang pelaburan ratusan juta yang dibuat oleh lembaga pengarah syarikat tersebut yang disifatkannya sebagai tidak masuk akal.

Dalam perkembangan sama, Omar berkata, Zakaria turut membuat kenyatan bercanggah apabila mengatakan perancangan melabur RM300 juta untuk mengambil alih kepentingan dalam kilang primer tidak pernah mendapat kelulusan jawatankuasa pelaburan.

Ini kerana katanya, nilai pertumbuhan kerjasama berkenaan kepada FGV dan kebolehupayaan sinergi dengan perniagaan hiliran FGV tidak dapat ditentukan.

Zakaria kini diarahkan bercuti tanpa tempoh selepas dituduh melakukan kesalahan urusniaga membabitkan Safitex dan anak syarikat FGV, Delima Oil Products Sdn. Bhd.

Arahan tersebut diumumkan oleh Pengerusi FGV, Tan Sri Isa Samad di dalam satu sidang media khas pada Rabu.

Satu siasatan dalaman akan dijalankan bagi membuktikan tuduhan terhadap Zakaria dan surat tunjuk sebab akan dikeluarkan kepada CEO FGV apabila siasatan selesai. – MalaysiaGazette