Reaksi ceria Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Menteri Pertahanan merangkap Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Tan Sri Shahrizat Abd Jalil serta yang lain pada Majlis Jalinan Ramadan Pergerakan Wanita UMNO bersama pasukan beruniform 2017 di Dewan Merdeka, PWTC. foto SAFWAN MANSOR, 12 JUN 2017

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggesa supaya orang ramai mengambil iktibar kemenangan tentera Islam dalam perang Badar dimana ia menekankan prinsip ketaatan kepada pemimpin dan tidak melanggar arahan yang diberikan.

Najib berkata dalam peperangan tersebut, umat Islam berjaya memperoleh kemenangan walaupun sedang berpuasa ketika itu kerana izin bantuan Allah dan ketaatan kepada pemimpin waktu itu.

“Kalau ikut akal kumpulan yang kecil tentunya akan tewas dengan kumpulan yang besar.

“Tapi apa yang berlakunya sebaliknya. Tapi ikut hukum Allah outcome dia berbeza,” kata Najib dalam Majlis Jalinan Ramadhan 2017 anjuran Wanita UMNO di PWTC.

Namun, keadaan berbeza berlaku dalam perang Uhud dimana umat Islam tewas dan yang membezakan kedua-dua perang ini adalah umat Islam melanggar perintah pemimpin, kata Najib lagi.

“Tapi satu prinsip yang berbeza menyebabkan orang islam menang dalam Badar, kalah dalam Uhud adalah prisip taat kepada kepimpinan.

“Orang Islam taat tapi Uhud kerana berebut harta tidak mengikut arahan, ini semua pengajaran kepada kita,” katanya.

Dalm konteks negara kita, Najib juga mengungkit insiden pencerobohan yang berlaku di Lahad Datu pada 2013 lalu dimana wujud pengkhianatan daripada rakyat Malaysia yang mengakibatkan beberapa kematian pasukan keselamatan negara yang dibunuh dengan kejam.

“Bila ada anggota kita sendiri yang telah mengkhianati, memberi maklumat kepada musuh dan mereka menunggu.

“10 orang mati kerana kita tidak ada ketaatan, kesetiaan dan mengkhianati rakan kita,” ujarnya.

Tegas Najib lagi, keamanan yang dikecapi negara bukanlah “secara kebetulan” tetapi berkat pengorbanan pasukan keselamatan yang komited dalam melindungi negara daripada ancaman luar dan dalam.

Beliau berkata, ia menyebabkan Malaysia masih belum dilanda serangan pengganas, seperti yang disaksikan di kota-kota lain seluruh dunia.

“Setiap kali melihat (berita) serangan di televisyen, di Manchester (dan) Marawi, saya takut berlaku (di Malaysia). Tetapi ia tidak berlaku.

“Tidak, ia tidak berlaku bukan kerana kebetulan…(tetapi) kerana pengorbanan pasukan keselamatan kita,” katanya lagi.

Beliau mengulas kedudukan Malaysia yang naik satu tangga di nombor 29 dalam Indeks Keamanan Global 2017.

Indeks yang melibatkan 163 negara itu juga meletakkan Malaysia negara ke-5 paling aman di rantau Asia Pasifik, selepas New Zealand, Australia, Jepun dan Singapura.

Selain itu, katanya, ia juga kerana kerajaan “berani” menggunakan dasar pencegahan awal dalam menangani keganasan.

“Kerajaan pimpinan UMNO berkata anda dibenarkan mengambil pencegahan awal. Sebab itu ia tidak berlaku,” katanya.

Antara undang-undang yang digubal kerajaan atas sebab pencegahan awal keganasan adalah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan Akta Undang-Undang Pencegahan Keganasan 2015 (POTA), yang dikritik sesetengah pihak antaranya kerana membenarkan penahanan tanpa bicara. – MalaysiaGazette