Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR – Tindakan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz melabelkan Menteri Sarawak, Datuk Karim Abdul Rahman Hamzah sebagai ‘setahun jagung dan budak lagi’ menimbulkan rasa tidak puas hati Pemuda Barisan Nasional di bumi kenyalang itu.

Pengerusi Pemuda BN Sarawak, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kenyataan Nazri yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan  adalah kasar dan tidak melambangkan semangat kekeluargaan BN.

Malah, kata Menteri Kerja Raya itu, tindakan melabelkan Menteri Sarawak sebagai setahun jagung dan masih budak lagi adalah satu penghinaan terhadap Karim yang telah diberi kepercayaan oleh pucuk kepimpinan negeri untuk menerajui kementerian berkenaan di peringkat negeri.

“Sebagai sebuah keluarga besar dalam BN apa juga isu terutama menyentuh sensitiviti rakyat di mana-mana peringkat, seharusnya ditangani secara musyawarah dalam semangat BN dan bukannya menerusi kenyataan umum atau menerusi hebahan media, kerana ia boleh mencetuskan kemarahan nitizen.

“Jika ada isu-isu yg hendak dijelaskan, maka ianya harus dilakukan secara baik dan berhemah dan bukannya dengan memperlekehkan sesama pemimpin dalam parti komponen yang sama,” kata Fadhillah yang juga Ketua Pemuda PBB dalam kenyataan hari ini.

RUJUK: Nak jadi samseng, belajar dari saya, pesan Nazri pada Menteri Sarawak

Menurut beliau, Pemuda BN Sarawak berpendirian bahawa semangat saling menghormati dan permuafakatan antara pemimpin dalam parti komponen harus diutamakan dengan sebarang perbezaan pendapat mestilah diselesaikan dalam saluran parti yang harmoni.

Katanya, sebarang perbezaan pendapat boleh dibincangkan dan seterusnya mengambil kesempatan itu untuk bermuafakat bagi mendapatkan penyelesaian terbaik kepada semua perkara.

“Tindakan melabelkan sesama kita sebagai ‘samseng’ juga tidak wajar sama sekali kerana ia bukan sahaja satu penghinaan kepada individu terbabit malah boleh menjejaskan imej parti, apa lagi samseng bukanlah budaya dalam BN, apatah lagi dalam PBB,” katanya.

Dalam berdepan apa juga isu, katanya, Pemuda BN Sarawak berpendirian, yang paling utama ialah semangat dalam sebuah keluarga besar iaitu keluarga BN, parti yang telah diberikan mandat dan kepercayaan oleh rakyat, perlu dijunjung dan dipertahankan. – MalaysiaGazette