Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media selepas merasmikan Program Jelajah Agropreneur Muda Perak 2017 hari ini. Ahmad Zahid mengesahkan bahawa rakyat Malaysia, Mohd Nizam Ariffin atau dikenali sebagai Abu Afghan, yang menyertai kumpulan pengganas Daesh di Syria, terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan Iraq di Mosul, Jumaat lepas. --fotoBERNAMA (2017)

BAGAN DATUK – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan bahawa rakyat Malaysia, Mohd Nizam Ariffin atau dikenali sebagai Abu Afghan, yang menyertai kumpulan pengganas Daesh di Syria, terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan Iraq di Mosul, Jumaat lepas.

Timbalan Perdana Menteri berkata pihak perisikan telah memaklumkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung nasib Abu Afghan, 38, ketika pertempuran dengan tentera kerajaan Iraq.

“Kementerian Dalam Negeri mengesahkan kematian Mohd Nizam dan pihak perisikan telah memaklumkan perkara itu kepada Polis Diraja Malaysia,” katanya.

Kematian Mohd Nizam menjadikan jumlah militan Malaysia terbunuh di Iraq dan Syria seramai 31 orang, manakala 56 lagi dipercayai masih bebas.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata kerajaan juga tidak akan mengiktiraf mereka yang terkorban kerana penyertaan dalam kumpulan pengganas sebagai mati syahid.

“Jika ada fatwa dari mana-mana pihak mengatakan kematian pengganas itu sebagai syahid kerajaan tidak akan iktiraf ia sebagai kematian syuhadah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Agropreneur Muda Perak 2017, di sini, hari ini.

Justeru, katanya, kerajaan tidak akan melakukan usaha untuk membawa balik mayat rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan pengganas sekiranya mereka meninggal dunia dalam pertempuran di luar negara.

Menurutnya, pihak keluarga yang ingin membawa balik mayat berkenaan perlu mengambil usaha sendiri.

“Ini kerana mereka (yang meninggal) melakukan kesalahan atas risiko sendiri, kalau ada keluarga nak bawa balik kenalah hubungi rakan-rakan beliau,” katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai tindakan beberapa negara menyenaraikan ulama tersohor, Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradawi sebagai pengganas, katanya, Malaysia bersikap terbuka dalam isu tersebut.

Ditanya jika Malaysia akan mengikut jejak Arab Saudi, Mesir, Bahrain dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) Ahmad Zahid berkata: “Kita tunggu laporan daripada pelbagai pihak dan jika individu terlibat dalam senarai syak kita akan dapatkan maklumat terperinci dari semua sumber berwibawa.”

Minggu lepas, empat negara berkenaan menyenaraikan pemimpin Ikhwanul Muslimin itu adalah antara 59 individu yang disyaki membiayai organisasi pengganas serta menerima sokongan daripada negara Qatar.

Menjelas lanjut, timbalan perdana menteri berkata Yusuf Al-Qaradawi merupakan antara tokoh Maal Hijrah dan pengiktirafan tersebut diberikan kepada beliau berdasarkan sumbangannya ketika itu.

Yusuf Al-Qaradawi dipilih sebagai tokoh Maal Hijrah peringkat kebangsaan pada 2009.

“Untuk menyatakan beliau sebagai pengganas itu adalah suatu istilah yang diberikan oleh negara-negara berkenaan jadi Malaysia bersikap terbuka dalam soal ini.

Kita mengiktiraf beliau sebagai tokoh intelektual Islam, sebagai seorang ulama dan kita tidak berhajat untuk gunakan istilah lain daripada itu,” katanya.

— BERNAMA