Tourism Malaysia
Tourism Malaysia

KUALA LUMPUR – Sarawak hari ini mengumumkan penarikan diri daripada Lembaga Pelancongan Malaysia berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan itu dibuat sehari selepas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz menempelak Menteri Pelancongan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dengan mengatakan menteri baru itu cuba berlagak samseng.

Bagaimanapun, dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Menteri Sarawak hari ini menyebut, keputusan menarik diri itu dibuat berikutan pertindihan tugas yang berlaku antara kementerian Pusat dan pelancongan negeri.

“Kerajaan Negeri berpendapat penyertaaan wakil negeri dalam Pelancongan Malaysia adalah tidak perlu kerana ia bertindih dengan peranan serta fungsi Lembaga Promosi Pelancongan Sarawak,” kata kenyataan ringkas itu.

Semalam, Nazri memberi amaran keras kepada Karim berikutan gesaan yang dibuat oleh menteri Sarawak itu berkenaan cukai pelancongan yang dicadangkan oleh kementerian.

“Apabila dia kata ini state list, kita tak berhak, tak berhak apa? Untuk mengelak daripada orang keliru maka kita jadikan cukai persekutuan. Bila jadi cukai persekutuan apa benda bangkit soal kita rampas hak Sarawak, tak bangkit benda ni.
 “Dia menteri baru, dia menteri BN, janganlah nak tunjuk lagak sangat. Jumpa saya, saya pun menteri BN, bukan setahun dua, banyak tahun dah. Apa-apa hal kita sama-sama kerajaan,” kata Nazri semalam – MalaysiaGazette