Azizan Mohamed Yassin, 38, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Fauzi Mohd. Nasir.

JOHOR BAHRU – Seorang bekas jurutera di Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah Kulai mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan pada dua tahun lalu.

Azizan Mohamed Yassin, 38, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Fauzi Mohd. Nasir.

Mengikut pertuduhan, dia yang kini berkhidmat sebagai Jurutera Awam, Penolong Pengarah Kanan Ibu Pejabat JKR, didakwa sebagai pegawai badan awam telah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan.

Dia didakwa melantik Syarikat G Two Amiruddin Trading untuk melaksanakan kerja-kerja memotong rumput dan pembersihan di Jalan Pintas Sengkang – Felda Inas, Jalan Sengkang, Jalan Gunung Pulai dan Jalan Sedenak dalam daerah Kulai dengan harga kerja sebanyak RM19,750.

Azizan didakwa mempunyai hubungan dengan syarikat itu di mana abangnya sendiri, Azizi Mohamed Yasin mempunyai kepentingan ke atas syarikat terbabit.

Bapa tiga orang anak itu didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat JKR Daerah Kulai pada Ogos 2015.

Dia didakwa mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana-mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya SPRM, Khazrin Haffiz Khalil manakala Azizan diwakili Peguam, Iskandar Shah Ibrahim.

Mohd Fauzi membenarkan jaminan sebanyak RM20,000 ke atas tertuduh dan menetapkan 31 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Beliau turut memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah dan melaporkan diri di Pejabat SPRM Johor setiap 1 haribulan. – MalaysiaGazette.