KUALA LUMPUR – Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap individu atau entiti Labuan jika melanggar undang-undang dan peraturan-peraturan yang berkaitan dengan pengubahan wang haram.

Dalam kenyataannya hari ini, Labuan FSA berkata, dengan rejim pengawalan dan penyeliaan yang ketat, termasuk larangan urus niaga secara tunai di Labuan IBFC, aplikasi Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Akta Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram dan peraturan anti pengubahan wang haram serta prosedur institusi kewangan di Labuan telah memelihara integriti dan reputasi serta memastikan hanya aktiviti perniagaan tulen sahaja dijalankan di Pusat Kewangan dan Perniagaan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC).

“Labuan FSA komited untuk memerangi apa-apa aktiviti pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan di Labuan IBFC,” katanya.

Agensi itu mengulas laporan yang mendakwa hasil kegiatan haram yang diperolehi melalui skim pelaburan palsu disimpan di Labuan IBFC untuk digunakan, antara lain menyokong dana politik pihak-pihak tertentu di negara ini dan disalurkan kepada aktiviti kumpulan militan.

Katanya, sebagai Ahli Jawatankuasa Penyelarasan Kebangsaan (NCC) menangani pengubahan wang haram, Labuan FSA sentiasa bekerjasama dengan badan-badan pengawal selia yang lain melalui rangkaian pengawalseliaan, penguatkuasaan dan perkongsian maklumat dalam menyiasat sebarang aktiviti berkaitan dengan pengubahan wang haram di peringkat nasional dan di Labuan. – MalaysiaGazette