Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Perdana Menteri, Seri Najib Tun Razak berucap ketika mempengerusikan Majlis Konsultasi Bajet 2018 di Kementerian Kewangan, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 15 JUN 2017.7.

PUTRAJAYA – Bajet 2018 dijangka dibentang di Parlimen pada 27 Oktober depan, demikian menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perkara itu dinyatakan Najib dalam ucaptama ketika mempengerusikan Majlis Konsultasi Bajet 2018 di Kementerian Kewangan hari ini.

Jelasnya, majlis konsultasi yang diadakan setiap tahun itu adalah bagi mendengar pandangan dan cadangan rakyat dalam menggubal bajet negara.

“Majlis konsultasi ini adalah satu platform penting bagi sektor awam, swasta dan NGO memberi pandangan dan maklum balas terhadap cabaran dan isu semasa serta langkah menanganinya.

“Inilah dasar keterbukaan dan keprihatinan kerajaan dalam mendahulukan kepentingan rakyat,” katanya.

Turut hadir Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Timbalan Menteri Kewangan l, Datuk Othman Aziz dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Justeru menurut Menteri Kewangan itu, setiap isu yang dibangkitkan serta cadangan yang dikemukakan akan diperhalusi malah akan diberikan perhatian sewajarnya. – MalaysiaGazette