Pemandu Grabcar bertindak ‘kurang ajar’, kutuk penumpang

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu Grabcar bertindak kurang ajar apabila memperlekehkan penumpangnya yang merupakan warga China.

Lelaki terbabit sanggup mengatakan penumpangnya bodoh dan lahanat dan perbuatannya itu dirakamkan.

Menerusi video yang tular di laman sosial, lelaki dipercayai berusia lingkungan 20an itu mengutuk warga China terbabit yang duduk di bahagian penumpang sebelah belakang kereta yang dipandunya.

Dalam rakaman itu, pemandu terbabit kononnya merakam video berkenaan sebagai “meraikan’ ulang tahun ke-5 Grab.

Aksinya yang dengan selamba mengutuk dan menghina kedua-dua penumpang terbabit dalam bahasa Malaysia jelas tidak difahami oleh pelanggannya itu.

Pemuda itu berkata, penumpang warga China itu membuatkan dia ‘pening’ ekoran masalah komunikasi, sebelum pemandu terbabit mengelarkan mereka sebagai bodoh, bengal, lahanat dan musibat.

“Si bodoh, lahanat, aku cari dia. Dia boleh duduk dalam jam (jalan sesak).

“Si bengal dua orang ni pakai baju belang macam Zebra ni, aku rasa macam nak tepuk je kepala dia. Seronok beb dapat customer (pelanggan) China,” kata lelaki itu dalam rakaman tersebut.

Sambil meminta kedua-dua penumpang itu melambai tangan ke arah kamera, pemuda itu berkata: “China very good (sangat bagus) dan musibat. 5 tahun raikan Grab…kita ada pelanggan (dari) China, yang bodoh-bodoh alam macam ni. Kau pening nanti. Jaga-jaga”.

Tindakannya itu dikecam netizen yang mendesak supaya Grabcar mengenakan tindakan sewajarnya berikutan perbuatan memalukan dan menghina penumpang.

“Saya orang cina.. Dan saya tak kan kutuk orang lain/bangsa lain. Jangan racist sangat jadi manusia,” tulis Meghan Kamal di Facebook.

“Dulu orang kata Grab bagus tapi sekarang dah ada manusia yang menjatuhkan imej Grab…ni dinamakan kurang sihat,” kata Hakim Harun.

Sementara itu, A’fifah Abdullah pula berkata: “Tak baiknya (mengutuk). Tak reti bersyukur, sekurang-kurangnya itu rezeki, ada juga pelanggan,” katanya. – MalaysiaGazette