KUALA LUMPUR – Sekali lagi Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) tidak pernah meminta kerjasama daripada kerajaan Malaysia atau 1 Malaysia Development Bhd. (1MDB) sendiri sebelum meneruskan tindakan undang-undang sivil.

Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri, Datuk Tengku Sarifuddin berkata, kerajaan Malaysia sedia memberi kerjasama penuh kepada sebarang siasatan undang-undang sekiranya diminta.

“Kami maklum mengenai tindakan undang-undang sivil terkini oleh DoJ dan ini telah membawa kepada pelbagai isu lain.

“Kerajaan Malaysia akan memberi kerjasama penuh kepada sebarang siasatan undang-undang terhadap syarikat Malaysia atau rakyatnya sejajar dengan protokol antarabangsa.

“Jadi kami bimbang apabila sekali lagi DoJ telah gagal meminta kerjasama tersebut daripada kerajaan mahupun 1MDB.

“Kami juga bimbang terhadap perbuatan mengaitkan individu-individu tertentu yang hanya mendorong kepada manipulasi politik domestik dan campur tangan.

“Ini menyebabkan perkara tersebut melampaui objektif (DoJ) untuk merampas aset-aset tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Tengku Sarifuddin, terdapat pelbagai siasatan mendalam yang telah dilakukan oleh pihak berkuasa Malaysia ke atas 1MDB termasuk oleh badan bebas dan bi-partisan seperti Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) namun tiada sebarang jenayah ditemui.

Malah, 1MDB masih lagi di bawah siasatan polis dan tegas beliau, sekiranya berlaku sebarang salah laku, Malaysia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan.

“Sehingga kini, dakwaan-dakwaan tersebut masih belum dapat dibuktikan dan tidak boleh diambil sebagai fakta.

“Kami juga maklum mengenai kenyataan akhbar DoJ yang menyebut, “aduan perampasan sivil adalah satu dakwaan semata-mata yang mana ia mendakwa wang atau hartanah yang dikatakan itu terlibat atau datang daripada hasil jenayah.

“Dakwaan-dakwaan tersebut masih belum dibuktikan sehingga mahkamah membuat penghakiman yang memihak kepada Amerika Syarikat,” katanya lagi.

Malam tadi, DoJ di dalam kenyataan terbaharunya mendakwa sejumlah AS$4.5 bilion dana telah disalah gunakan dan sedang mencari peluang untuk merampas AS$1.7 bilion aset yang dimiliki menggunakan wang yang dicuri daripada 1MDB.

Antara barangan yang bakal dirampas adalah sebuah kapal layar, perhiasan berlian, rangkaian pusat kecergasan dan hasil seni.-MalaysiaGazette