KUALA LUMPUR – Penduduk pangsapuri Putra Ria di Pantai Dalam, di sini, kekejutkan dengan penemuan mayat bayi yang baru dilahirkan pagi ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pengurus pangsapuri tersebut mengenai penemuan itu pada jam 9.33 pagi.

Katanya, pengadu menemui bayi itu di kawasan tempat letak kereta Blok 94 Pangsapuri tersebut disyaki dibuang di situ.

“Pada jam 10.25 pagi ambulans dari Pusat Perubatan Universiti Malaya telah sampai ke lokasi sebelum pegawai perubatannya mengesahkan bayi itu meninggal dunia.

“Siasatan polis mendapati ia merupakan bayi perempuan dan terdapat kecederaan luka di pipi kiri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bayi warga asing bertali pusat dibuang di parkir Pangsapuri Putra Ria Pantai Dalam pagi hari ini disahkan meninggal dunia.

Tambah beliau, pemeriksaan lanjut mendapati bayi itu masih bertali pusat dan dipercayai baru dilahirkan.

“Fizikal bayi lengkap dan dipercayai anak milik warga asing,” ujarnya.

Menurut Ku Mashariman, kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette