Datuk Seri Hishammudin Tun Hussien. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 18 JUN 2017

KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menasihatkan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) mendakwa pihak berkenaan ke muka pengadilan, bukan sekadar membuat kenyataan yang tidak berasas.

Katanya, apabila DOJ mendakwa pihak itu beserta dengan bukti kukuh akan memberi peluang kepada orang yang dituduh itu membela diri dan membersihkan nama daripada tuduhan sebelah pihak,

“Saya nak nasihatkan kepada DOJ, kalau mereka mempunyai bukti yang kukuh, dakwalah. Jangan buat kenyataan demi kenyataan tanpa mengambil tindakan.

“Apabila mereka dakwa, orang yang didakwa itu boleh ada ruang untuk membersihkan nama masing-masing.

“Tetapi kalau hanya melalui kenyataan, akhirnya kalau tidak mengambil tindakan, maka kredibiliti DOJ itu sendiri boleh dipertikaikan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri sesi perjumpaan dengan Setiausaha UMNO Negeri, Bahagian dan tiga sayap parti di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Hishammuddin berkata, kenyataan bersifat tuduhan yang dikeluarkan DOJ kepada beberapa pemimpin negara ini bukan baharu sekarang wujud, malah sebelum ini pun mereka melakukan perkara yang sama.

“Saya nak beritahu kepada DOJ, jangan dakwa sahaja, ambil tindakan ke atas orang yang dituduh itu. Inilah keadilan supaya mereka yang didakwa itu itu boleh menjawab dan membersihkan nama,” katanya.

Beliau turut membidas pihak tertentu yang mengambil kesempatan dengan kenyataan DOJ itu.

Katanya, persepsi yang diwujudkan oleh DOJ itu adalah tindakan tidak bertanggungjawab, sehingga ada pihak tertentu menangguk di air keruh.

Hishammuddin yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas berkata, beliau tidak melihat isu itu dapat mempengaruhi rakyat di bawah. – MalaysiaGazette