Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Kesudian Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk kembali berkhidmat sebagai perdana menteri jika gabungan pembangkang itu berjaya menawan Putrajaya diragui.

Menurut bekas pengasas PKR, Ng Lum Yong, Mahathir dilihat tidak mampu untuk menggalas mandat yang diberikan rakyat ekoran matlamat utamanya partinya hanya untuk menjatuhkan kerajaan BN pada PRU-14 kelak.

“Hingga kini PPBM tidak mengeluarkan sebarang manifesto sekiranya dia berjaya memerintah dan (jika salah) seorang ahlinya menjadi perdana menteri serta blue print mereka kita langsung tidak tahu.

“Oleh itu bagaimana rakyat nak mengharapkan parti ini yang ditubuhkan dalam masa satu tahun sahaja,” lapor sebuah portal hari ini.

Malah katanya, kenyataan terbaru Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menolak untuk dicalonkan selaku perdana menteri pembangkang juga dikhuatiri akan menimbulkan rasa kecewa dalam kalangan penyokong pembangkang.

Jelasnya, kebanyakkan pemimpin pembangkang sebelum ini mahu Anwar terus dicalonlan selaku perdana menteri pembangkang dan kesediaaan Mahathir hanya dianggap sebagai cubaan untuk merebut peluang.

“Saya anggap ramai ahli PKR akan kecewa dengan keputusan ini sebab dari mula semua anggap Anwar akan menjadi Perdana Menteri yang akan datang, bukannya orang lain, tetapi tiba-tiba nama Tun Mahathir disebut,” jelas Lum Yong.

Anwar yang kini menjalani hukuman lima tahun penjara membuat kejutan apabila mengumumkan beliau menolak tawaran untuk menjadi Perdana Menteri sekiranya PH berjaya memenangi PRU-14 akan datang.

Malah bekas timbalan perdana menteri itu turut berkata pembangkang harus tertumpu kepada nada pengukuhan jentera dan menarik dukungan rakyat pada PRU-14 kelak. -MalaysiaGazette.