Pengasas dan Pengarah Malik Streams Corporation, Datuk Abdul Malik Dasthigger menyampaikan sumbangan kepada Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Baitu Saidati Khadijah pada Majlis Pengagihan Bantuan Ramadan kepada anak-anak yatim dan ibu tunggal di Wisma Malik, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 19 JUN 2017

KUALA LUMPUR – Filem Tamil, Kaala Karikalan yang kini sedang dalam proses pengambaran di Mumbai dijangka mampu menandingi filem Kabali.

Pengarah Produksi Malik Streams Corporation Sdn Bhd, Datuk Abdul Malik Dastigheer berkata, penampilan superstar Tamil Rajinikanth dalam filem tersebut menjadi penarik kepada peminat-peminat filem Tamil untuk menontonnya apabila ditayangkan.

Beliau berkata, pihaknya merancang untuk membawa pelakon terkenal itu ke Malaysia sekali lagi bagi melakukan pengambaran di sini sama seperti filem Kabali.

“Filem itu sekarang ini sedang shooting (pengambaran) di Mumbai. Selepas itu pengambaran akan dilakukan di Chenai. Insyaallah kita akan bawa Rajinikanth ke sini (Malaysia),” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan kepada fakir miskin, ibu tunggal dan anak yatim di sini hari ini.

Pada majlis itu, sebanyak 16 yayasan menerima sumbangan berjumlah RM600,000 yang merupakan acara tahunan syarikat berkenaan setiap kali menjelang Ramadan.

Sumbangan yang dimulakan sejak 2007 itu bakal diperluaskan bukan sahaja menjelang Aidilfitri malah turut diadakan pada perayaan-perayaan lain, kata Abdul Malik.

Dalam pada itu Abdul Malik berkata, filem Kabali yang ditayangkan pada tahun lalu mencatatkan kutipan sebanyak RM300 juta di seluruh dunia.

Katanya, untuk tayangan di Malaysia, filem itu berjaya mengutip sebanyak RM13 juta.

Ujar beliau, syarikatnya kini merancang untuk mengadakan konsert terbesar pada 23 September depan dengan mengundang artis Bollywood seperti Salman Khan, Bipasha Vasu dan Kajol.

Katanya, rancangan untuk mengadakan konsert berkenaan selepas melihat permintaan baik dalam kalangan masyarakat Melayu yang meminati filem Hindustan dan lagu-lagu Bollywood.

Ujarnya, peminat filem atau lagu-lagu Tamil tidak akan dikecewakan kerana syarikatnya turut merancang untuk membuat konsert yang akan mengundang artis seperti Prabhu Deva dan Tamanna. – MalaysiaGazette