Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berucap pada Majlis Pecah Tanah Bukit Bintang City Centre (BBCC) dan Mitsui Shopping Park Lalaport Kuala Lumpur, di Jalan Hang Tuah Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 20 JUN 2017

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri berkata, ketika mula-mula mengambil alih pentadbiran kerajaan, beliau mahu mengutamakan sistem pengangkutan awam kerana menyedari ia penting kepada pembangunan ekonomi negara.

Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, dengan sistem pengangkutan awam yang baik dan cekap, ia menjadi tarikan pelabur asing untuk melabur, sekali gus menyumbangkan kepada sektor ekonomi negara.

Justeru katanya, apa yang dilakukannya itu telah terbukti apabila Jepun merupakan antara empat negara asing yang menjadi rakan dagang terbesar negara ini telah menyumbangkan perdagangan dua hala berjumlah kira-kira RM120 bilion.

Bahkan beliau yakin, dengan kemajuan terus ditingkatkan tanpa memikirkan kecaman pihak tertentu, Malaysia berpotensi besar mengembangkan hubungan ekonomi dua hala dengan beberapa negara asing lagi.

“Antara faktor pelabur berminat melabur di negara ini ialah kerana kita mempunyai sistem pengangkutan awam yang baik.

“Sejak awal, saya mengambil serius dengan cabaran sistem pengangkutan awam ini, yang sebelum ini telah diabaikan oleh seorang pendahulu saya, dan saya telah mengarahkan pentadbiran saya untuk memberikan perhatian khusus kepada perkhidmatan kereta api.

“Selain percepatkan penyempurnaan sistem aliran ringan (LRT), kerajaan juga turut melaksanakan sistem MRT dan meningkatkan keupayaan komuter,” katanya berucap pada majlis pecah tanah (Bukit Bintang City Centre BBCC) dan Mitsui di BBCC Sales Gallery, Jalan Hang Tuah di sini, hari ini.

Kata Najib, BBCC dibina dengan tujuan tersendiri, selain bakal menjadi hab transit ke sistem pengangkutan awam sedia ada yang menghubungkan rakyat di sekitar Lembah Klang.

“Walaupun kita sudah menarik berjuta pelawat, namun hasrat kita ialah menyasarkan 36 juta pelancong datang ke negara ini dengan menyumbangkan kira-kira RM168 bilion menjelang 2020.

“Sektor pelancongan adalah tonggak utama ekonomi yang menjana faedah besar mencipta peluang pekerjaan yang lebih signifikan kepada rakyat negara ini,” katanya.

Mengenai projek BBCC, beliau menjelaskan, pusat beli belah itu bakal menjadi destinasi terbaik untuk pelancong asing, selain turut menyediakan hiburan.

Katanya, beliau gembira kerana BBCC berjaya menarik penyertaan pemain ekonomi global seperti Mitsui Fudosan iaitu kumpulan hartanah terkemuka Jepun untuk melabur RM1.6 bilion dalam pusat membeli-belah itu. – MalaysiaGazette