Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan bersama Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional, Datuk Eric See-To (kiri) dan Jurucakap Untuk Tanah dan Rasuah Parti Gerakan Pulau Pinang, H'ng Khoon Leng (kanan) menunjukkan surat jawapan dari Lembaga Jurutera Malaysia berkaitan isu pembayaran syarikat jururunding pada sidang media mengenai pembongkaran tentang pentadbiran DAP di Cyberjaya, Selangor. foto IQBAL BASRI, 20 JUN 2017.

CYBERJAYA – Pengarah Strategik Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan memberikan tempoh seminggu kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng untuk menjejaskan mengenai dakwaan salah guna kuasa melibatkan projek kerajaan negeri itu.

Justeru tempoh seminggu diberikan kepada Guan Eng untuk memberikan penjelasan kepada umum dan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan dibuat sekiranya gagap berbuat demikian dalam tempoh seminggu.

“Kita akan berikan dokumen kepada SPRM kalau perlu. Tetapi kita bagi peluang kepada kerajaan negeri Pulau Pinang supaya mereka tidak kata kita jadikan mereka mangsa.

“Kita ada laporan PAC dan beri peluang kepada DAP untuk jawab secara terhormat kepada persoalan kita dan kepada masyarakat Pulau Pinang tanpa perlu kita heret SPRM.

“Kalau ada kesangsian, SPRM boleh lakukan siasatan tapi kita tidak mahu terus lapor ke SPRM tanpa berikan mereka peluang untuk menjawab.

“Dokumen yang kami ada cuma beberapa helai sahaja,” katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat Strategik BN hari ini.

Daripada maklumat yang diperoleh beliau, terdapat keraguan dalam proses pembinaan tiga jalanraya dan juga pembinaan terowong bawah tanah di negeri itu.

Kerajaan negeri dilaporkan membayar peningkatan sebanyak 400 peratus melibatkan kos rundingan bagi projek berkenaan dengan lebihan bayaran sebanyak RM136 juta.

“Surat daripada Persatuan Lembaga Jurutera Malaysia menyatakan bahawa kos hanya RM177 juta. Kos rundingan untuk projek ini sepatutnya hanya RM41 juta.

“Kenapa DAP belanja RM208 juta untuk kos dan ini dibayar kepada syarikat yang telah dibayar oleh konsesi projek tersebut. Jadi itu tanda tanya yang ingin ditanya Guan Eng,” soal Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.

Ketiga-tiga jalan berkenaan akan merangkumi jarak 20.23km dengan kos RM1.99 bilion atau kos pembinaannya akan menelan belanja RM98.2 juta bagi setiap kilometer. -MalaysiaGazette.