Mohd Isa Samad

PUTRAJAYA – Bekas Pengerusi Felda Global Ventures (FGV) Holdings Berhad, Tan Sri Isa Samad mengambil masa lebih empat jam ketika memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Sebaik keluar daripada perkarangan ibupejabat SPRM, Isa menyerahkan kepada badan siasatan itu untuk menentukan kedudukan beliau dalam isu melibatkan FGV.

“Itu bidang kuasa SPRM tetapi saya telah menjelaskan beberapa perkara yang ditanya pegawai penyiasat.

“Banyak perkara yang disoal kepada saya. Saya telah beri penjelasan. Tiada bukti mahu pun dokumen yang diserahkan. Ini cuma soal siasatan, jadi saya beri kena beri keterangan,” katanya di lobi SPRM disini hari ini.

Ahli Parlimen Jempol itu adalah individu yang terakhir dipanggil SPRM berhubung siasatan terhadap FGV.

“Bagaimana saya tahu saya bersalah, saya dah beri keterangan dalam soal siasat. Saya tidak tahu sama ada saya bersalah atau tidak.

“Saya tidak mahu buat apa-apa andaian terhadap isu ini. Itu keputusan yang akan dibuat oleh SPRM,” katanya lagi.

Isa dipanggil memberi keterangan kepada SPRM dipercayai bagi membantu siasatan terhadap FGV.

Turut dipanggil isteri beliau, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid kerana namanya disebut dalam kes berkenaan.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berundur daripada FGV setelah kemelut pentadbiran dengan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat itu Datuk Zakaria Arshad.

Tempat Isa digantikan bekas pengerusi Telekom Malaysia Tan Sri Sulaiman Mahbob. -MalaysiaGazette.