Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai (kiri) dan Penasihat Undang-undang Biro Aduan Awam Gerakan Nasional, Mak Kah Keong (kanan) menunjukkan gambar-gambar hutan di Pulau Jerejak yang tidak digazetkan oleh kerajaan Pulang Pinang pada sidang media di Ibu Pejabat PGRM, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 23 JUN 2017.

KUALA LUMPUR – Lim Guan Eng disifatkan sebagai individu yang hanya bercakap kosong kerana tidak tidak menunaikan janjinya untuk mewartakan Pulau Jerejak sebagai hutan simpan di Pulau Pinang.

Naib Presiden Nasional Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, semasa DAP mengambil alih Pulau Pinang daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) pada tahun 2008, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh berjanji akan mewartakan pulau berkenaan dalam tempoh setahun.

Bagaimanapun katanya, selepas tempoh yang diberikan, janji itu umpama cakap kosong daripada seorang yang bergelar ketua menteri.

“Pada tahun 2015 Guan Eng ada berkata, keadaan akan menjadi rumit pada masa hadapan sekiranya Pulau Jerejak digazetkan. Dia tidak ada niat mahu gazetkan Pulau Jerejak sebagai hutan simpan.

“Saya nak kata dia ini hanya cakap kosong saja. Dia kata nak pelihara alam sekitar, tapi dalam situasi sebenarnya tidak,” katanya pada sidang media di Pejabat Parti Gerakan di sini hari ini.

Ujar Dominic, walaupun exco kerajaan negeri itu telah berjanji untuk melaksanakan perkara tersebut namun, Guan Eng telah membuat keputusan yang sebaliknya.

Katanya, semasa Pulau Pinang dipimpin oleh Tan Sri Koh Tsu Koon hasratnya untuk memelihara alam sekitar di negeri Pulau Mutiara itu bukan sekadar cakap kosong sahaja tetapi berserta dengan tindakan.

Ujarnya, langkah itu terbukti apabila Tsu Koon berjaya mewartakan Bukit Panchor di Pulau Pinang sebagai hutan simpan pada tahun 2007.

Dominic turut menasihati Guan Eng supaya belajar dengan Tsu Koon sekiranya beliau mahu tahu cara sebenar untuk memelihara alam sekitar.

“Kita di parti Gerakan juga bersedia untuk memberikan khidmat nasihat kepada Guan Eng berhubung perkara ini sekiranya beliau mahu,” ujarnya. – MalaysiaGazette