Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak

PUTRAJAYA – Kira-kira 70,000 pengunjung dijangka memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan Jemaah Menteri di Kompleks Seri Perdana di sini, pada Hari Raya pertama.

Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Othman Mahmood berkata,  rumah terbuka itu akan berlangsung dari 10 pagi hingga 4 petang.

Selain menikmati pelbagai juadah yang disediakan, beliau berkata, orang ramai berpeluang bersalaman dengan Perdana Menteri dan anggota jemaah menteri serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

“Pelbagai juadah antaranya masakan Melayu, Cina, India dan makanan vegetarian akan disediakan.

Tetamu juga akan dihiburkan dengan persembahan artis jemputan khas,” katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan akhir majlis itu, hari ini.

Othman berkata, bagi kemudahan orang ramai, perkhidmatan bas secara percuma disediakan dari tiga lokasi iaitu Putrajaya Sentral, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Putra.

Beliau berkata, trak Milo juga disediakan untuk pengunjung yang menaiki bas di lokasi berkenaan. – MalaysiaGazette