Bonucci menolak tawaran Chelsea dan berkeputusan kekal di Juventus selepas ini. the Sun

TURIN – Pemain pertahanan Juventus, Leonardo Bonucci menolak tawaran Chelsea dan membuat keputusan untuk terus kekal bersama the Old Lady.

Keputusan mengejut Bonucci memusnahkan harapan the Blues untuk mengikat khidmat pemain berusia 30 tahun itu.

Chelsea sedang berusaha untuk menguatkan jentera pertahanan menjelang musim depan dan melihat Bonucci sebagai pilihan terbaik walaupun pemain itu sudah berusia 30 tahun.

Pengurus Chelsea, Antonio Conte mahu membeli Bonucci bagi menggantikan John Terry yang akan meninggalkan Stamford Bridge.

Chelsea sanggup menawarkan £45 juta untuk Bonucci tetapi Tuttosport di Itali mendakwa Bonucci tidak berhasrat untuk meninggalkan tanah airnya dan menyertai kelab Liga Perdana Ingeris ketika ini.

Juventus yang telah beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah musim lalu tunduk pada aksi final kepada juara bertahan Real Madrid 4 Jun lalu.