KUALA LUMPUR – Pesawat Malindo Air yang dalam penerbangan dari Lahore, Pakistan ke Kuala Lumpur terpaksa dilencongkan ke Delhi, India kerana masalah enjin.

Pesawat OD132 yang meninggalkan Lahore sekitar pukul 9.25 malam waktu tempatan pada 25 Jun lalu.

Bagaimanapun, pesawat itu terpaksa dialihkan ke Delhi kerana situasi kecemasan.

Malindo dalam kenyataan berkata, juruterbang mematuhi standard prosedur operasi dan pesawat berkenaan selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Gandhi dalam tempoh 40 minit.

“Semua 75 penumpang selamat dan diberi penginapan semalaman di hotel sebelum berlepas menaiki pesawat OD206 dan OD208 untuk ke Kuala Lumpur pada hari berikutnya,” menurut kenyataan tersebut.

Kenyataan itu berkata, krew teknikal Malindo Air segera dihantar ke lapangan terbang untuk melakukan pemeriksaan bersama dengan pengendali teknikal di bawah Jet Airways.

Siasatan dengan pengilang enjin dan Boeing juga sedang dijalankan untuk menentukan punca utama masalah itu. – MalaysiaGazette