Florentino Perez nafi berita yang mengatakan MU telah mencapai perjanjian bersama Real Madrid untuk mendapatkan Alvaro Morata. - agensi

SEPANYOL – Kelab La Liga Real Madrid menafikan dakwaan bahawa Manchester United telah mencapai perjanjian untuk membeli Alvaro Morata di Santiago Bernabeu.

Presiden kelab itu Florentino Perez berkata, laporan media kononnya Los Blancos telah mencapai perjanjian bersama the Red Devils untuk menjual Morata adalah tidak benar.

Penyerang antarabangsa Sepanyol itu dikaitkan perpindahan ke Old Trafford pada jendela pembelian pemain kali ini.

Apabila ditanya mengenai sebarang potensi penjualan pemain itu, Perez menegaskan tiada sebarang persetujuan dicapai sehingga kini.

Katanya, dia telah membaca artikel mengenai perkara itu.

“Saya tidak pasti berapa juta kali isu Morata disebarkan tetapi semuanya tidak benar,” jelasnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Morata yang kecewa dengan layanan di Madrid telah membuat keputusan untuk meninggalkan Galacticos.

Pemain yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan sanggup menamatkan bulan madunya untuk menyegerakan proses perpindahan ke Theatre of Dreams di bawah bimbingan Jose Mourinho.

Morata mengharapkan kelab baharu dan peluang beraksi lebih kerap sebagai penyerang utama dan percaya mempunyai peluang menyinar bersama Red Devils.

Walaupun Man United telah menawarkan bidaan £65 juta, ia telah ditolak Real Madrid dan difahamkan menuntut yuran setinggi £75 juta.

Morata hanya beraksi dalam 20 perlawanan bersama Real Madrid tetapi berjaya menjaringkan 15 gol musim yang baru berakhir. – MalaysiaGazette