Rais Yatim menyerahkan sumbangan kepada salah seorang penuntut antarabangsa UIAM pada majlis sambutan Hari Raya.

KUALA LUMPUR – Seramai 250 orang penuntut asing daripada 33 buah negara diraikan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Kampus Gombak sempena Hari Raya Aidilfitri.

Majlis ini dianjurkan untuk meraikan para penuntut antarabangsa yang terpaksa beraya di perantauan dan berjauhan daripada keluarga.

Dalam masa yang sama ia salah satu cara untuk memberikan kegembiraan kepada mereka yang hanya beraya bersama rakan-rakan.

Sebahagian daripada 250 penuntut yang diraikan oleh UIAM sempena Hari Raya Aidilfitri.

Majlis itu turut dihadiri Presiden UIAM, Tan Sri Dr. Rais Yatim, Rektor UIAM, Prof. Dato Seri Zaleha Kamaruddin dan pengurusan tertinggi universiti.

Mereka dijamu dengan juadah Hari Raya di Malaysia dan Arab.

Rais turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada 155 orang pelajar yang kurang berkemampuan dan menyampaikan paket hamper kepada penuntut yang hadir.

Menurut Rais, majlis itu merupakan cara memberi sedikit keceriaan kepada para pelajar yang berjauhan dengan keluarga.

“Kampus ini dianggap sebagai rumah kedua mereka, jadi dengan penganjuran program ini, ia sedikit sebanyak dapat menghilangkan rasa rindu di kampung halaman,” katanya. – MalaysiaGazette