Naib Presiden Nasional, Datuk Dominic Lau Hoe Chai bercakap pada sidang media bagi menjelaskan isu pembinaan tiga jalan utama dan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang di Menara Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM), Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 16 JUN 2017

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan akan mendapatkan injunksi mahkamah bagi menghentikan tiga projek jalan raya dan terowong bawah tanah yang mahu dibina kerajaan DAP Pulau Pinang kerana wujud banyak percanggahan dan urusniaga mencurigakan dalam proses pembinaan tersebut.

Naib Presidennya, Datuk Dominic Lau Hoe Chai mempersoalkan wujud urusniaga mencurigakan dalam Pakej A pembinaan jalan raya dari Tanjung Bungah ke Teluk Bahang apabila kerajaan Pulau Pinang membayar terlalu tinggi bagi kajian kebolehlaksaan kepada pihak konsultan.

“Kita nak mendesak kerajaan Pulau Pinang menjelaskan mengapa kajian kebolehlaksanaan bagi pakej pertama iaitu jalan berkembar dari Tanjung Bungah ke Teluk Bahang adalah sangat tinggi sebanyak 32 peratus daripada kos pembinaan.

“Kos pembinaan itu hanya RM377 juta tapi kos untuk kajian kebolehlaksanaan itu sebanyak RM120 juta, jadi ini sangat tinggi,” kata Hoe Chai dalam sidang media di ibu pejabat Gerakan, Cheras hari ini.

Lebih tidak masuk akal kos kajian tersebut lebih tinggi daripada kos kajian kebolehlaksaan untuk pembinaan terowong bawah tanah dimana ia lebih sukar jika dibandingkan dengan pembinaan jalan raya, kata Hoe Chai.

“Mengapa kita kata tinggi, kerana ini kos kajian bagi jalan berkembar itu lebih tinggi daripada kos kajian kebolehlaksanaan daripada terowong yang kita tahu ia lebih susah tetapi kos bagi terowong hanya RM96 juta tapi untuk jalan 10km dari Tanjung Bungah ke Teluk Bahang itu sebanyak RM120 juta.

“Ini yang kita minta kerajaan Pulau Pinang bawah Lim Guan Eng kena menjelaskan kepada rakyat mengapa kos itu sangat tinggi bagi Pakej A.

“Kajian kebolehlaksanaan terowong bawah tanah sepatutnya lebih susah kerana ia di dasar laut malah kos pembinaan terowong itu sepanjang 6.5 km adalah RM3.1 bilion tapi kajian kebolehlaksanaan hanya RM96 juta sahaja,” katanya.

Hoe Chai juga mempertikaikan mengapa kos kajian tersebut dibayar penuh walhal pembinaan jalan raya bagi Pakej A tersebut masih belum bermula.

“Kita pun tak faham mengapa kos kebolehlaksanaan itu dibayar dengan cepat dan dibayar semua sepenuhnya kepada konsultan dan mengikut Akta Jurutera mengatakan ia sepatutnya dibayar secara berperingkat dan kita mengambil kesempatan ini mendesak kerajaan Pulau Pinang menjelaskan mengapa ia dibayar secepatnya dan mengapa dibayar sepenuhnya, ini kena jelaskan kepada rakyat.

“Projek ini pun belum bina lagi tapi sudah dibayar sepenuhnya,” katanya.

Pembayaran penuh itu didakwa dilakukan kerajaan Pulau Pinang pada 19 Mei 2017 lalu selepas jawapan diberikan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang yang pertama bagi penggal ke-13.

Naib Presiden Nasional, Datuk Dominic Lau Hoe Chai bercakap pada sidang media bagi menjelaskan isu pembinaan tiga jalan utama dan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang di Menara Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM), Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 16 JUN 2017

Mengambilkira wujud percanggahan dalam projek Pakej A, Hoe Chai berkata Gerakan membuat keputusan dan sedang meneliti daripada aspek perundangan untuk memfailkan injuksi mahkamah bagi menghalang projek jalan raya tersebut dan juga terowong bawah tanah yang gagal dijelaskan oleh kerajaan Pulau Pinang pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

“Oleh kerana banyak percanggahan dan urusniaga mencurigakan, Gerakan akan membuat injunksi mahkamah (perintah mahkamah) untuk menghentikan projek ini yang sebegitu banyak masalah dan sebegitu banyak tempat yang tidak dijelaskan serta yang sebegitu banyak percanggahan daripada exco kerajaan DAP itu, semua ini kena dijelaskan,” tegasnya.

Projek Pakej A merupakan sebahagian daripada projek Jalan Raya dan Terowong Utama Pulau Pinang (PMRT) yang bernilai RM6.3 bilion, satu inisiatif yang diambil oleh kerajaan negeri untuk mengurangkan kesesakan jalan raya.

Projek itu juga dijangka dapat merangsang pertumbuhan ekonomi negeri, mewujudkan peluang pekerjaan, memudahkan pindahan teknologi dan kemahiran teknikal daripada syarikat pembinaan bereputasi dan meningkatkan standard hidup penduduk di koridor utara.

Dengan jarak sejauh 20.5 kilometer, tiga pakej lebuh raya itu ialah Jalan Pesisir Pantai Utara (menghubungkan Tanjong Bungah dan Teluk Bahang), Lebuh Raya Pintasan Ayer Itam-Tun Dr Lim Chong Eu dan Lebuh Raya Pintasan Persiaran Gurney-Tun Dr Lim Chong Eu.

Projek itu dijangka siap pada 2021. – MalaysiaGazette