RIYADH – Sudah empat tahun saya bermastautin di bumi anbiya. Biarpun pengalaman yang saya dan keluarga lalui di Riyadh ini tidak sehebat sahabat-sahabat lain yang jauh lebih lama telah berhijrah di bumi Saudi ini, ada sesuatu yang ingin saya kongsikan dengan pembaca, dari perspektif saya sendiri.

Seperti yang telah saya nyatakan dalam siri-siri yang lalu, musim sejuk adalah musim yang amat dinantikan oleh semua. Bukan sahaja kerana keenakan cuaca, (yang biasanya antara 4 darjah ke 13 darjah celcius, bergantung pada waktu), tetapi juga kerana waktu ini adalah peluang bagi saya dan keluarga meneroka bumi Saudi.

Bagi saya adalah satu kerugian jika peluang berada di bumi Saudi yang amat susah untuk dijejaki oleh orang luar ini tidak digunakan sebaik mungkin.

Kali ini saya ingin berkongsi cerita tentang sungai “misteri” di Riyadh . Apalah istimewanya sungai bagi kita orang Malaysia. Kampung saya sendiri mempunya sungai yang sangat cantik, masih kekal dengan alam semula jadi, air yang jernih, nyaman dan persekitaran yang bersih.

Air sungai yang mengalir jernih dan dingin

Namun bagi kami yang tinggal di Riyadh, bila ada yang menyebut adanya sungai, sesuai untuk berkelah, maka berduyun-duyunlah yang berhasrat untuk mengunjungi tempat tersebut. Tinggal di negeri padang pasir, kewujudan sungai adalah sesuatu yang amat unik dan mungkin juga dirasakan sebagai suatu misteri.

Secara umumnya disebut tidak ada sungai atau tasek yang kekal di Saudi. (pengecualian pada sesetengan tempat, sebagai contoh “Secret Lake” yang akan saya kongsikan di dalam siri yang lain). Sungai misteri yang telah dikenal pasti ini adalah merupakan kawasan wadi.

Kawasan wadi yang dilimpahi air selepas hujan akan menjadi sungai atau kolam buat beberapa ketika. Pada musim panas, kawasan ini menjadi kering kontang. Itulah sebabnya saya namakan sebagai misteri. Pada musim panas kawasan ini hanya menjadi tempat tinggal para penjaga unta dan kambing. Sunyi, kosong, lengang dan tandus.

Pemandangan kawasan perkelahan dari atas bukit.

Terfikir saya, kehidupan yang dilalui oleh penggembala kambing di gurun ini. Mungkin mereka juga sentiasa menunggu-nunggu kedatangan musim sejuk seperti saya, kerana di musim ini akan ada pengunjung yang melewati kawasan tersebut, sedikit sebanyak mewarnai kehidupan mereka di kawasan itu.

Kawasan wadi yang menjadi tumpuan pada musim sejuk yang lalu ialah Shaib Duqlah. Ada berbagai ejaan yang ada untuk wadi ini. Ejaan yang lain ialah Shoaib Daqala dan berlainan pulak ejaan yang tertulis di papan tanda di jalan raya menuju ke wadi ini. Wadi ini terletak kira-kira lebih kurang 100 kilometer dari Riyadh. Kedudukannya menghala ke utara, melewati kawasan yang dinamakan Selbokh.

Kebetulan hari yang kami pilih untuk berkelah disini menurut ramalan kaji cuaca ialah hari yang paling sejuk iaitu mencecah 0 darjah celsius. Namun begitu keghairahan untuk menjelajah wadi ini tidak mematahkan semangat, malah kami telah siap dengan bekalan pakaian yang sesuai, dan semestinya dengan bekalan kayu api untuk dijadikan unggun api. Satu kemestian perkelahan ini mesti disusuli dengan barbikiu. Seperti sudah satu acara wajib.

Sungai misteri yang dikelilingi gurun batu.

Sungai ini mengalir di dalam kawasan yang agak luas. Air yang dingin mengalir dicelahan batu dan tumbuhan kecil menjadikan tempat ini sungguh cantik dan nyaman. Namun begitu tidak kelihatan seekor ikan pun di dalam sungai ini.

Tompokan tumbuhan hijau berbunga kecil dengan berbagai warna melatarii tanah gurun ini. Dari kejauhan kelihatan gembala kambing dan unta yang turut merasakan keriangan kami. Untuk mendapat lokasi yang menarik serta dapat menampung sembilan ahli keluarga, kami mencari tempat yang sesuai.

Kami merentasi sungai yang kedalamannya lebih kurang dua kaki tinggi. Oleh kerana kesemua kami memiliki kereta yang tinggi maka bukan lah menjadi satu masaalah untuk merentasi sungai, malah menjadi satu cabaran yang tak dapat dilupakan. Jangan terkejut jika melihat anak-anak muda tempatan yang berani merentasi sungai tersebut walaupun mereka memandu kereta sedan.

Menemui sekumpulan kambing biri-biri.

Cuaca dingin serta angin yang datang sekali sekala menjadikan kami menggigil. Oleh yang demikian perkara pertama yang dilakukan ialah memasang khemah dan kemudiannya unggun api. Di seberang sungai bertentangan dengan lokasi kami terdapat sekumpulan anak muda tempatan yang berkhemah disitu.

Saya tertarik dengan kelengkapan perkhemahan mereka yang siap dengan enjin generator. Saya melihat mereka membawa tong gas yang besar. Rupa-rupanya kumpulan itu juga membawa seekor kambing hidup yang kemudiannya saya dapat lihat mereka menyembelih kambing tersebut , melapah dan memanggangnya disitu.

Sebahagian dari sahabat yang bersama dengan penulis.

Selesai solat maghrib berjemaah saya lihat mereka bergembira dan menari di dalam khemah.

Suasana malam disitu menjadi ceria dengan kegirangan anak-anak muda tersebut, ditambah dengan keriuhan kumpulan kami. Unggun api dipasang bagi memanaskan badan disamping menjadi punca cahaya. Namun kami juga membawa lampu khusus untuk perkhemahan. Sebelum matahari tenggelam, kami mengambil peluang untuk menerokai kawasan sekitar.

Khemah yang menjadi tempat berlindung dari angin yang dingin.

Hampir di setiap kawasan terdapat kumpulan-kumpulan kecil yang berkelah dibawah rimbunan pokok. Sungguh indah kejadian Allah ini walaupun di tengah gurun berbatu. Di kawasan tersebut terdapat perigi-perigi lama yang telah ditinggalkan. Ini bererti suatu masa dahulu kawasan tersebut mempunyai penghuni, atau merupakan sebuah perkampungan.

Namun oleh kerana arus pembangunan penduduk asalnya mungkin telah berpindah ke kawasan bandar. Perigi-perigi tersebut dipagar untuk mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku. Saya kongsikan disini beberapa gambar menarik dengan para pembaca.

Pemandangan indah ketika matahari terbenam.

Ada di antara gambar ini adalah merupakan koleksi peribadi saya dan juga gambar yang diambil oleh sahabat-sahabat saya.

PENULIS merupakan pensyarah di salah sebuah universiti di Riyadh. – MalaysiaGazette